Pawagam tindas filem Prebet Sapu gara-gara Spiderman?


  • Hiburan
  • Sabtu, 18 Dis 2021

PENGUSAHA pawagam didakwa kembali kepada 'perangai lama' iaitu menindas filem tempatan. —The Star

INDUSTRI filem tanah air kembali rancak dengan kemunculan filem-filem baharu selepas panggung wayang dibenarkan beroperasi semula dalam Program Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Kemeriahan itu turut disertai dengan kemunculan filem tempatan baharu garapan sulung pengarah Muzzamer Rahman, Prebet Sapu.

Rata-rata yang menonton filem berkenaan memberikan pujian terhadap filem itu yang dikatakan sangat berkesan membawa mesej sosial tentang perih jerih kehidupan di ibu kota Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, ada satu perkara yang tidak sedap didengar, dakwanya ada pawagam yang sengaja mengurangkan jumlah tayangan filem itu untuk memberi laluan kepada filem francais terbitan Marvel Studio, Spider-Man: No Way Home.

Kenyataan itu disuarakan oleh penulis buku dan Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, Daniyal Kadir di akaun media sosial miliknya.

Daniyal mendakwa pengusaha pawagam di Malaysia yang sebelum ini menagih simpati kerana berdepan kesukaran susulan pandemik Covid-19 sudah kembali dengan 'perangai lama' selepas dibenarkan beroperasi.

Katanya lagi, 'perangai lama' yang dimaksudkan adalah menindas filem tempatan yang mana bertentangan dengan kempen wajib tayang buat filem terbitan tempatan.

Perkongsian Daniyal itu turut mendapat perhatian teraju utama filem Prebet Sapu, Amerul Affendi yang turut berkongsi semula status berkenaan dia akaun Twitternya.

amerul post

Amirul dalam statusnya bertanyakan adakah benar perkara berkenaan masih berlaku.

Dia juga meminta orang ramai berkongsi tentang kejadian itu jika benar ia beraku di pawagam.

Menerusi status Amirul, Daniyal turut berkongsi satu kejadian yang berlaku ke atas pemilik akaun Facebook Rahman Imuda.

Dalam kejadian itu Rahman berkongsi bahawa dia membeli tiket untuk menonton filem Prebet Sapu pada Khamis, untuk tayangan 9.55 malam.

Bagaimanapun selepas tiba di pawagam, dia dimaklumkan oleh kakitangan pawagam berkenaan bahawa tayangan filem itu dibatalkan.

Dakwanya tayangan itu dibatalkan atas arahan majikan untuk memberi laluan kepada filem Spiderman dan meningkatkan jualan tiket harian.

Berang dengan keadaan itu, dia tetap bertegas supaya pihak pawagam menayangkan filem itu kerana dia sudah membeli 22 tiket untuk filem berkenaan. Pihak pawagam akhirnya akur dan menayangkan filem berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram