Nora Ariffin akhirnya bergelar isteri kepada rakan baik arwah suami


  • Hiburan
  • Jumaat, 03 Dis 2021

DATUK Nora Ariffin bersama dengan suaminya, Dr Rushdi Ramli. — Gambar Nora Ariffin

EMPAT tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi, Datuk Nora Ariffin memaklumkan yang dia kini sudah bergelar isteri Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Dr Rushdi Ramli, 55.

Menurut Nora, Rushdi merupakan sahabat baik arwah suaminya, Johan Nawawi sejak kecil lagi.

"Saya ingin meminta maaf kerana dari awal lagi saya memang berniat untuk tidak menghebah-hebahkan ikatan ini.

"Saya berpegang pada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Bukan ingin bermegah-megah atau jauh sekali untuk mencari publisiti," katanya dalam satu status di akaun Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Nora turut berharap supaya semua yang mengenalinya dapat menitipkan doa buat dia dan keluarga.

Untuk rekod, Nora sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan dua anak lelaki serta dua perempuan.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat sakit jantung manakala anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff pula meningal dunia pada 13 Disember 2019.

Sebelum perkahwinan ini, Nora pernah didakwa berkahwin dengan Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Namun, kedua-dua pihak menafikan perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram