PM arah KPDNHEP selesaikan segera isu harga barang naik


  • Primer
  • Jumaat, 03 Dis 2021

PERMINTAAN pengguna yang melonjak dalam tempoh pemulihan Covid-19, ditambah pula dengan kekurangan bekalan akibat cuaca buruk dan isu tenaga kerja, antara lain, menyumbang kepada kenaikan harga barangan makanan seperti sayur-sayuran. —The Star

ISU kenaikan harga barangan keperluan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bertindak segera dalam mencari penyelesaian terhadap masalah itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pagi Khamis beliau dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad bahawa Perdana Menteri mengarahkan supaya mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) diadakan secepat mungkin.

“KPDNHEP sedang buat persiapan untuk mesyuarat itu diadakan dalam beberapa hari lagi dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya ketika menjadi tetamu program Dialog Tiga Penjuru: Runsing Harga Barang 'Kayangan' terbitan Astro Awani malam Khamis.

Menurut Nanta, kementeriannya perlu menguruskan isu tersebut dengan baik supaya bukan sahaja pengguna dilindungi, malah pada masa yang sama peniaga tidak mengalami kerugian sekali gus berhadapan dengan risiko gulung tikar. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

harga barang, KPDNHEP, pengguna, peniaga