RAMAI pasangan suami isteri terpaksa menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan kerana kedua-duanya perlu bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Malah, ada si kecil yang terpaksa dijaga di pusat asuhan ketika seusia bayi disebabkan kesibukan ibu bapa bekerja.
Perlu diketahui, sikap kanak-kanak adalah berlainan manakala hanya pengasuh yang mempunyai sifat penyabar mampu mengawal sikap kanak-kanak yang hiperaktif, tidak mendengar kata dan nakal.
Pengasuh yang tidak penyabar menyebabkan risiko seseorang kanak-kanak itu didera sama ada secara mental atau fizikal.
Malah, terdapat kes yang mana bayi kerap menangis tanpa diketahui puncanya juga menguji kesabaran pengasuh, yang akhirnya mendera bayi berkenaan.
Pakar kesihatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, ibu bapa perlu prihatin dengan tanda-tanda anak mereka didera termasuk sikap anak yang melawan setiap kali mereka dihantar ke pusat pengasuh serta mula takut dengan orang lain selain ahli keluarga sendiri.
"Anak juga menunjukkan perubahan iaitu terlalu manja atau pendiam, selain terdapat kesan lebam,atau luka di pelbagai bahagian atau berulang.
"Selain itu, anak juga didapati sering mimpi ngeri, mengigau atau sukar tidur," katanya menerusi laman Facebook.
Namun, Dr Kamarul Ariffin berkata, tanda-tanda berkenaan tidak semestinya mengesahkan anak-anak didera dan ibu bapa juga perlu membuat pemantauan atau pemeriksaan lanjut.
Beliau berkata, sekiranya ibu bapa mengesyaki anak mereka didera, mereka perlu menjauhkan anak dari orang yang disyaki melakukan penderaan atau membuat aduan pada pengurus pusat asuhan sekiranya ada.
"Anda juga dinasihatkan untuk membuat laporan polis agar siasatan dilakukan selain membawa anak untuk pemeriksaan doktor dan dapatkan rawatan fizikal dan emosi anak.
"Selain itu, ibu bapa dinasihatkan jangan ketepikan sebarang aduan daripada anak-anak, walaupun kedengaran keterlaluan atau pelik. Ambil makluman dan berwaspadalah," katanya.
Khuatir dengan kejadian anak didera, pengguna Facebook, Azlin Nordin berkata, ia menjadikan antara punca dia mengambil inisiatif untuk bekerja sendiri serta menjaga anak sendiri.
"Walaupun banyak dugaan dan cabaran kita harungi juga. Struggle is real doctor. Both ways," katanya.
Berbeza dengan Murni Zain, anak-anak gembira apabila dihantar ke pusat asuhan.
"Anak-anak saya siap bye-bye tak toleh ibu dia dah pula doktor. Moga anak-anak saya gembira dan disayangi cikgu-cikgu mereka masa saya bekerja," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
