
MENDENGAR tajuk Siapa Tutup Lampu, tidak mustahil yang terlintas di kepala adalah genre untuk filem ni pasti berunsur seram.
Namun, apabila menontonnya pada tayangan perdana, sangkaan Bora meleset memandangkan sepanjang alur cerita, cuma ada sedikit elemen seram (dalam beberapa babak) bercampur komedi, thriller dan persahabatan yang menjadi asas kepada alur cerita.
Bakal ditayangkan pada 25 November 2021 di platform Astro First, filem Siapa Tutup Lampu mengisahkan tentang persahabatan Akmal, Arif, Aryana, Azie dan Amir yang dalam perjalanan pulang dari bercuti di Genting Highland.
Berawal dengan kemalangan yang membawa mereka ke bilik mayat sebuah hospital, pengalaman misteri yang dialami di situ membuka banyak rahsia dalam persahabatan mereka.
Secara jujur, Bora menonton cerita ini tanpa sebarang ekspetasi namun, percubaan sutradara muda, Aliff Ihsan Rahman dalam menghidupkan naskhah Azhar Jalil tidak begitu mengujakan.
Pertama, filem ini tidak ada genre yang jelas, namun, Azhar mengatakan bahawa naskhah ini asalnya adalah skrip untuk teater tetapi diterjemah dalam filem. Oleh yang demikian, genre filem ini boleh dikatakan adalah gabungan beberapa genre.
Tambahan pula, filem ini menampilkan banyak 'plot twist' yang sebahagian daripadanya tiba-tiba ada tanpa penjelasan yang jelas dalam babak sebelumnya.
Oleh yang demikan, Bora sebagai penonton jadi keliru untuk fikir kembali babak yang mana walaupun reaksinya adalah, "ohhh rupanya begitu."
Senang cerita, filem ini disusun dengan memberi persoalan dan akhirnya memberi jawapan. Ia akan membuat penonton berfikir dan berbahas sepanjang filem ini.
Berbaloikah untuk ditonton, ia bergantung kepada selera masing-masing, pada Bora filem ini bukan tipikal seram yang banyak kejutan tetapi ia lebih kepada drama persahabatan yang jarang dimainkan sebagai alur utama cerita.
Jadi untuk Bora, terima kasih kepada penganjur kerana menjemput untuk tayangan perdana kerana jika Bora mahu menekan butang Astro untuk membeli mungkin akan berfikir terlebih dahulu.
Apa-apa pun, Bora sangat kagum dengan usaha pelakon-pelakon di dalam Siapa Tutup Lampu, antaranya Azizul Ammar, Uyaina Aisyah, Naim Daniel, Ismi Melinda, dan Azhar (penulis skrip) yang cuba untuk menghidupkan keserasaian sebagai lima sahabat.
Bora boleh cadangkan untuk orang ramai untuk menonton filem ini meskipun pada Bora ia bukanlah pilihan mengikut ekspetasi.
Filem ini dalam kategori boleh ditonton kerana ia bukan taraf drama televisyen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram