RASANYA hampir seluruh rakyat Kelantan pasti kenal dengan individu istimewa bernama Asif.
Bermula daripada drama di YouTube arahan sepupunya, Syahmi Sazli, Asif diangkat menjadi pelakon sehinggalah muncul di layar perak menerusi filem Mael Totey.
Malah, kemenangan Asif atau nama sebenarnya Asif Suhaimi, 19, pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) baru-baru ini juga begitu mengejutkan apabila menewaskan nama besar seperti Jep Sepahtu.
Mengulas mengenai kemenangan Asif, Bintang Paling Popular ABPBH 2015 dan 2016, Mawi berkata, remaja autisme itu berhak menang disebabkan keikhlasannya.
"Memang ada orang tanya saya pasal kemenangan Asif dan bagi saya, dia memang berhak menang. Lagipun anugerah itu melihat siapa yang popular dan ternyata dia popular.
"Tak kisahlah sama ada orang undi dia sebab kasihan atau tidak. Yang penting kehadiran dia itu mendapat tempat di hati peminat," kata Mawi ketika ditemui selepas majlis makan tengahari bersama penyampai radio Zayan FM.
Mengimbas kembali kenangannya ketika mencipta fenomena TsuMawi dahulu, Mawi mengakui sebahagian yang menyokongnya adalah disebabkan rasa kesian.
Malah, ada mak cik yang berdoa sambil menangis untuk Mawi menang Akademi Fantasia disebabkan rasa kasihan kerana dia berasal dari kampung.
"Ada juga yang cakap terus terang dengan saya. Bukan undi sebab saya pandai menyanyi, tetapi sebab nak bantu saya.
"Bagi saya ini semua rezeki. Bagi Allah, tiada yang mustahil. Kalau kita tengok orang berjaya, tidak perlu nak pertikai," katanya sambil menyifatkan Asif sebagai satu-satunya selebriti yang tidak mempunyai 'haters'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram