AKTOR, Ryan Reynolds yang membintangi filem terbaharu Netflix, Red Notice di samping Dwayne Johnson dan Gal Gadot, secara berseloroh mendedahkan bahawa mereka bertiga membazirkan berjuta-juta dolar duit Netflix di set penggambaran filem berkenaan.
Dengan bajet yang dilaporkan sebanyak AS$200 juta (RM830 juta), filem tersebut adalah filem original Netflix yang paling mahal setakat ini, mengatasi The Irishman (AS$159 juta) (RM659 juta) dan 6 Underground (AS$150 juta) (RM622 juta).
Menerusi episod terbaharu program The Jonathan Ross Show (via The Independent), ketiga-tiga pelakon itu mendedahkan mereka berseronok di set penggambaran hingga ada masanya salah seorang daripada mereka 'merosakkan' babak yang dirakam kerana tiba-tiba tertawa.
"Banyak take yang tidak menjadi. (Ryan) akan tunggu di satu sudut untuk merosakkan suasana," kata Gadot.
Reynold secara bergurau membalas kenyataannya dengan menjawab: "Kami menghabiskan berjuta-juta duit Netflix kerana main-main dan berseronok di set."
Walaupun Reynolds jelas bergurau menerusi kenyataannya itu, namun dalam industri perfileman, masa adalah wang.
Lebih banyak masa yang dihabiskan untuk satu-satu adegan adalah masa yang tidak diperuntukkan untuk adegan lain.
Persoalannya kini, berapa banyak hasil keuntungan yang bakal diterjemahkan oleh ketiga-tiga pelakon A-list itu menerusi lakonan mereka dengan jumlah kutipan setakat ini hanya sebanyak AS$1 juta (RM4 juta) melalui tayangan di pawagam di Amerika Syarikat.
Malah ulasan beberapa pengkritik terhadap Red Notice setakat ini belum menunjukkan ada reviu yang bagus diperkatakan. Antara komen yang ditinggalkan termasuklah plot tidak jelas dan naratif filem yang lemah.
Begitupun, ada pihak berpendapat ia tidak menjadi masalah kepada Netflix memandangkan penampilan tiga bintang popular dalam filem tersebut secara eksklusif di platform penstriman gergasi itu, dikatakan akan mendorong langganan.
Red Notice mengisahkan cabaran agen Interpol (Johnson) yang berusaha menjejaki pencuri karya seni paling berbahaya (Gadot) dengan bantuan Reynolds yang juga merupakan pencuri karya seni.
Filem tersebut akan menemui penonton di Malaysia apabila ia ditayangkan secara penstriman di platform Netflix pada Jumaat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
