‘Custom’ kasut jana duit ketika PKP, Irwanshah kongsi pengalaman kena tipu


  • Hobi
  • Rabu, 13 Okt 2021

IRWANSHAH bersama salah satu hasil seninya. —Facebook

SIAPA sangka kebosanan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini boleh mendatangkan pendapatan sampingan bermula dari rumah.

Melihat keadaan kasutnya yang rosak, Irwanshah Mohamed, 31, mencari kaedah untuk memperbaiki dan memperbaharui kasutnya sendiri, memandangkan khidmat upah untuk berbuat demikian agak mahal.

Pemuda kelahiran Johor itu mendapat inspirasi daripada laman YouTube mengenai cara memperbaiki, melukis dan mewarna lukisan pada kasut.

Pada mulanya, katanya, dia hanya melukis lukisan pada kasut untuk dirinya sendiri, sebelum memuat naik hasil seninya di media sosial.

243902305_117386180686030_7180436241495406440_n

Sentuhan dua jenama dalam satu kasut.

“Tetapi lepas saya upload gambar (kasut) di media sosial untuk suka-suka, saya tak sangka pula ada kawan-kawan yang minta saya untuk lukiskan untuk mereka.

“Tidak lama lepas tu kawan saya upload di media sosial gambar hasil kerja saya.

“Lama-lama saya fikir custom ni boleh buat duit juga. Bolehlah buat part-time tambah duit sikit masa PKP ni,” katanya.

Irwanshah berkata, aktiviti melukis pada kasut memerlukan kesabaran yang tinggi selain ketelitian dan kekemasan.

241421909_105175065240475_4848763779588173475_n

Antara hasil seni Irwanshah.

Tambahan pula, katanya, kualiti, kreativiti dan warna lukisan pada kasut sangat penting bagi memastikan setiap pelanggan berpuas hati dengan hasil seninya.

240533106_104494098641905_3956902717480788930_n

Cat dan marker yang digunakan untuk mewarna kasut.

“Untuk custom kasut ni, saya perlu mengetahui trend lukisan yang disukai ramai dan pada masa sama saya boleh suggest (sarankan) kepada pelanggan mengenai apa trend masa kini sekiranya mereka tak ada idea.

“Dan trend yang paling banyak mendapat permintaan adalah trend lukisan cecair menitis pada kasut ataupun lukisan kartun,” katanya.

241449351_107670288324286_2536722581159396661_n

Trend kartun yang mendapat permintaan ramai.

Ketika ditanya mengenai cabaran memulakan perniagaan ini, Irwanshah mengakui bahawa terdapat ramai persaingan yang menawarkan perkhidmatan sama.

Malah, katanya, ada peniaga lain pernah memintanya untuk menaikkan harga kerana perkhidmatannya yang agak murah.

“Mana boleh macam tu, kita sama-sama berniaga dan persaingan sihat itu normal. Rezeki masing-masing Allah bagi,” katanya.

242095343_113287631095885_6720930843977272340_n

Trend kartun turut mendapat permintaan ramai.

Tambahnya, pernah ada satu ketika yang mana salah seorang pelanggannya tidak membayar wang secukupnya seperti yang diminta.

“Baki yang belum dibayar tak banyak pun tapi saya orang meniaga, penat lelah saya sampai ada satu hari tu saya tak tidur nak siapkan kasut semata-mata nak bagi dia puas hati.

“Tapi saya reda dan saya anggap tak ada rezeki. Saya halalkan sahaja duit itu,” katanya.

240591877_105197878571527_7177360519835435193_n

Warna kasut Nike yang telah diperbaharui.

Antara kasut berjenama yang pernah mendapat sentuhan tangan daripadanya termasuk Nike dan Adidas.

Ketika ini, katanya, dia mendapat sekurang-kurangnya lima tempahan kasut untuk diperbaharui dan dilukis dalam seminggu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan lukisan kasut yang kreatif dan terkini serta harga berpatutan boleh menghubunginya menerusi laman Facebook. — Majoriti

kasut, lukisan, Facebook