Hobi 'DIY' ubah suai rumah beri kepuasan tinggi


  • Hobi
  • Rabu, 29 Sep 2021

BILIK tidur ketika proses wainscoting yang dilakukan oleh Wan Nur Syarifah Diana. — Bernama

RAMAI yang mungkin sudah ‘mati akal’ memikirkan apa yang boleh dilakukan lagi untuk mengisi masa lapang semasa ‘musim berkurung’ yang sudah berlarutan sejak tahun lepas.

Bagi seorang kerani pentadbiran, Wan Nur Syarifah Diana Wan Shahida Azmi, 33, dia mula berjinak-jinak dalam dunia 'DIY' pengubahsuaian rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

Dia amat berkenan dengan dinding berpanel kayu ala-Inggeris kerana ia mewujudkan suasana eksklusif di dalam rumah dan memilih untuk melakukannya sendiri.

Hiasan panel kayu di bahagian bawah dinding 'wainscoting' diperkenalkan di England pada abad ke-16 untuk melindungi dinding daripada masalah berpunca daripada kerja kalis cuaca yang kurang elok.

Hasil penat lelah serta sentuhan kreatif dinding kamar tidur yang diusahakan oleh Wan Nur Syarifah Diana. Bernama

Apabila PKP dilaksanakan, Wan Nur Syarifah Diana sudah merancang untuk membuat wainscoting untuk dinding di kamar tidurnya. Daripada mengupah penghias dalaman yang melibatkan kos bayaran tidak kurang daripada RM1,000, beliau dan suaminya memutuskan untuk melakukannya sendiri.

“Kami belanja RM70 untuk beli selongsong dawai PVC, satu liter tin cat, gergaji, berus dan gam. Kerja yang kami buat ni memang memerlukan banyak tenaga, masa dan kreativiti.

“Memang meletihkan tapi saya dah berazam mahu memberi kamar tidur kami satu kelainan. Saya dan suami saya anggap ini sebagai hadiah untuk ulang tahun kesembilan perkahwinan kami, ” katanya.

Untuk mewujudkan kesan wainscoting ke atas dinding kamar tidur itu, dia tidak mengggunakan kayu kerana ia melibatkan banyak kerja termasuk memotongnya mengikut saiz yang diperlukan. Sebaliknya, dia memilih selongsong dawai PVC yang siap dibuat.

Wan Nur Syarifah Diana mahu berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada mereka yang mencari sesuatu untuk dilakukan semasa tempoh PKP. Bernama

“Saya gunakan kreativiti sendiri dan hasilnya sama jika saya menggunakan kayu, ” tambahnya.

Pasangan ini menghabiskan masa tiga jam sehari untuk projek berkenaan dan setelah empat hari, kamar tidur dengan sentuhan kreativiti tersendiri berjaya disiapkan.

Menurut Wan Nur Syarifah Diana, dia memuat naik gambar dinding kamar tidurnya dengan hiasan panel kayu di akaun Instagram dan Facebooknya. Hasil kreativitinya itu mendapat penghargaan keluarga serta rakan-rakannya.

“Bukan niat saya hendak menunjuk-nunjuk tapi lebih kepada berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada mereka yang mencari sesuatu untuk dilakukan semasa tempoh PKP ini, ” tambahnya.

Permintaan tinggi

Minat terhadap wainscoting sejak kebelakangan ini bukan sahaja membuatkan permintaan bahan untuk melakukannya meningkat tetapi juga mendorong sesetengah orang untuk melibatkan diri dalam bidang perkhidmatan wainscoting.

Seorang daripadanya adalah Duan Zara Rizal Teh, 40, yang memulakan perniagaannya selepas diberhentikan kerja tahun lepas (2020) akibat pandemik Covid-19.

Syarikatnya, DZ Molek Resources, menawarkan khidmat wainscoting di samping perkhidmatan sanitasi dan pensterilan untuk rumah dan pejabat.

“Penyelesaian untuk perubahan adalah melakukan penyesuaian dan merebut peluang. Dengan kerja keras, inisiatif serta memperbaharui tekad, Alhamdulillah, kini saya menganggap kehilangan kerja sebagai peluang untuk saya membina semula kehidupan saya, ” kata Duan Zara.

Hasil kerja kreatif wainscoting pada dinding rumah dan pejabat yang dihasilkan oleh Duan Zara Rizal Teh. — Bernama

Dia yang sememangnya berminat untuk kerja ubah suai rumah serta reka bentuk, membuat banyak penyelidikan mengenai wainscoting. Syarikatnya kini mampu menyediakan perkhidmatan memasang kepingan wainscoting untuk dinding penuh atau separuh dan setakat ini mempunyai beberapa orang pelanggan yang tinggal di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Apa yang pelanggan perlu sediakan ialah ukuran terperinci kawasan dinding rumah mereka dan kami akan hantar anggaran harga untuk kerja yang perlu dilakukan, ” kata Duan Zara.

Menurutnya, memandangkan semakin ramai orang yang bekerja dari rumah sejak kebelakangan ini, permintaan untuk rumah yang cantik serta selesa turut meningkat.

“Semakin ramai orang yang memberi lebih perhatian kepada suasana dalam rumah mereka. Pemilik rumah juga mahu menjadikan rumah rumah mereka lebih indah dan memilih untuk membuat wainscoting sebagai pilihan lain kepada pemasangan kertas dinding atau reka bentuk yang dicat.



Duan Zara teliti ketika mengecat dinding secara semburan bagi mendapatkan hasil kerja terbaik. — Bernama

Wainscoting ini bukan setakat menjadikan dinding nampak cantik. Ia lebih kepada menjadikan suasana dalam rumah lebih kemas dan selesa, ” katanya.

Dia bagaimanapun melahirkan keresahan dengan PKP yang masih berlarutan kerana tidak dapat meneruskan operasi perniagaan dan menyebabkan beberapa kerja tertunggak.

“Kami bernasib baik pelanggan kami bersedia menunggu sampai tamat PKP 3.0 untuk kami pasang kepingan wainscoting yang mereka sudah tempah daripada kami, ” tambahnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram