
"JANGAN fikir Covid-19 itu satu jenaka". Itu merupakan perkongsian bekas anggota kumpulan Spice Girl, Mel B, 46 ,yang kini dalam proses rawatan selepas dijangkiti virus itu sejak lima minggu lalu.
Penyanyi asal Britain itu memberitahu, sepanjang bertarung dengan Covid-19 dia hanya terbaring di tempat tidur.
Katanya, dia kini dalam fasa akhir untuk sembuh daripada jangkitan virus berkenaan.
Berkongsi perkembangan terkini di laman sosial Instagram, Mel B mengatakan bahawa dalam kepalanya ketika ini cuma membayangkan dia sedang bercuti di Maldives.
Dalam hantaran itu, juri program realiti America's Got Talent itu turut berkongsi gambar kenangannya bercuti di negara yang mempunyai pulau tercantik dunia tersebut.
"Dalam fikiran saya, saya di sini.
"Ahhhh tempat yang indah, laut yang jernih dengan sinar matahari, tentunya saya akan terperap di vila peribadi yang dinamakan sempena nama saya.
"Tetapi pada hakikatnya sekarang saya di tempat tidur untuk sedang sembuh daripada Covid-19," tulisnya.
Tambahnya lagi, dia mengucapkan terima kasih kepada Tuhan kerana mengilhamkan penciptaan aplikasi penstriman Netfilx sepanjang proses pemulihan.
Susulan muat naik itu, akaun Mel B dibanjiri dengan doa dan kata-kata semangat daripada peminat-peminatnya.
Rata-rata mereka mendoakan supaya penyanyi itu cepat sembuh dan berharap agar dia sentiasa kuat menempuh dugaan Covid-19. — Agensi