UNTUK setiap 100 kalori yang mungkin kita sangka dibakar ketika bersenam, hanya 72 kalori yang sebenarnya dibakar oleh badan, menurut satu kajian baharu yang menunjukkan bagaimana aktiviti fizikal mempengaruhi metabolisme tubuh.
Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology, badan kita 'mengimbangi' kalori yang kita bakar semasa bersenam dengan menggunakan lebih sedikit kalori sepanjang hari.
Kajian tersebut menganalisis data dari 1,754 orang dewasa dengan melihat kepada dua ukuran utama, iaitu berapa banyak kalori yang dibakar setiap orang tanpa melakukan apa-apa dan juga tahap kalori yang dibakar dalam sehari apabila melakukan senaman atau aktiviti lain.
Para saintis membandingkan kedua-dua nilai kalori tersebut dengan melihat jumlah kalori asal dan jumlah kalori yang sepatutnya dibakar ketika melakukan senaman dan aktiviti lain.
Hasil kajian menunjukkan bahawa, secara purata, hanya 72 peratus kalori yang dibakar dari aktiviti senaman diterjemahkan menjadi kalori tambahan yang dibakar pada hari itu.
Ini bermakna bahawa badan anda 'mengimbangi' kira-kira 28 peratus kalori yang anda bakar semasa bersenam dan membakar lebih sedikit kalori ketika anda sedang berehat.
Contohnya, jika anda sangka anda telah membakar 100 kalori ketika bersenam berdasarkan maklumat yang tertera di aplikasi senaman anda, ia mungkin tidak benar kerana badan anda sebenarnya ‘menyimpan’ 28 peratus kalori pembakaran untuk waktu yang lain.
Ini lebih menyedihkan bagi individu yang mempunyai tahap lemak badan yang tinggi.
Kajian itu mendapati bahawa badan mereka mengimbangi 50 peratus atau lebih kalori yang dibakar semasa bersenam dan melakukan aktiviti lain. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram