MENGAMALKAN diet yang sihat adalah amat penting bagi kesihatan tubuh badan dan dapat mengelakkan kita daripada mendapat pelbagai jenis penyakit.
Bukan itu sahaja, makanan dan minuman yang kita ambil juga dapat mempengaruhi perasaan dan emosi, serta membantu memperbaiki kesihatan mental.
Kajian mendapati nutrien tertentu yang terdapat dalam makanan dan minuman dapat meningkatkan mood anda, meredakan tekanan dan kegelisahan, bahkan mampu membantu melawan kemurungan.
Jika anda berasa tertekan atau tidak bersemangat, berikut adalah makanan yang anda boleh ambil untuk membantu meningkatkan mood anda:
1. Coklat gelap
Dalam kajian yang dilakukan di pusat penyelidikan Nestlé di Switzerland, penyelidik mendapati, pengambilan coklat gelap dalam kadar sederhana setiap hari selama dua minggu mengurangkan kadar kortisol dan hormon stres lain pada individu yang mengalami tekanan.
Ini adalah manfaat daripada antioksidan yang terdapat dalam coklat gelap.
2. Teh hijau
Teh hijau mempunyai sejumlah nutrien yang dapat membantu untuk meningkatkan mood, termasuk L-theanine, sejenis asid amino yang mampu melawan kegelisahan.
Ia juga kaya dengan antioksidan seperti catechin, yang dapat meningkatkan fungsi otak.
3. Makanan yang kaya dengan Omega-3
Omega-3 dapat membantu mengawal penyakit jantung, membantu menurunkan berat badan, selain mempunyai sifat antioksidan. Ia juga bagus untuk mengurangkan masalah kemurungan, dan memperbaiki keadaan mental dan tingkah laku lain.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa individu yang kekurangan asid lemak omega-3 lebih cenderung mengalami kemurungan, kegelisahan dan mood rendah.
4. Kacang
Kacang adalah antara makanan yang mempunyai banyak sumber vitamin, mineral, magnesium dan juga mempunyai sifat antioksidan yang penting untuk meningkatkan mood dalam diri.
Tahap magnesium yang rendah dalam badan boleh menyebabkan peningkatan risiko kemurungan.
5. Kopi
Kafein yang terdapat dalam kopi dapat membantu meningkatkan mood dengan mencetuskan pembebasan dopamin dalam otak.
Kafein juga dapat menghalang sebatian semula jadi yang disebut adenosin daripada melekat pada reseptor otak yang mendorong rasa letih, oleh itu ia dapat meningkatkan tahap waspada dan perhatian anda.
6. Makanan yang diperam
Makanan yang diperam seperti kimchi, yogurt, dan tempe adalah penting untuk menjaga kesihatan usus kerana kaya dengan bakteria probiotik.
Selain itu, makanan jenis ini penting untuk menaikkan mood kerana dapat menghasilkan hormon serotonin dalam diri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram