
PENYANYI Syafiq Farhain memohon semua warganet mendoakan kesihatan ibunya yang baharu sahaja selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan cyst di Hospital Sultanah Nur Zahirah Hospital, Kuala Terengganu pada Selasa.
Menurut Syafiq, ketumbuhan itu mula dikesan sejak tiga bulan lalu apabila ibunya, Napisah Muhammad, 56 sering mengadu sakit perut.
"Tiga bulan lepas ibu mula rasa sakit perut, lenguh-lenguh badan... ketika itu sudah buat pemeriksaan di klinik swasta, tapi doktor beritahu tidak ada apa yang serius.
"Bagaimanapun, ibu masih rasa sakit dan kami buat keputusan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar. Ketika itulah baru kami dapat tahu, dalam perut ibu ada ketumbuhan cyst sebesar enam sentimeter.
"Selepas dapat tahu tentang keadaan ibu, kami terus mendapatkan tarikh untuk pembedahan secepat mungkin bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk," katanya kepada Majoriti.
Kata Syafiq, sepanjang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan, ibunya tidak mengalami sebarang kesakitan cuma kelihatan runsing memikirkan keadaannya.
"Kami sangkakan ketumbuhan dalam perut ibu sudah mengecut sebab sepanjang menunggu giliran untuk pembedahan ini ibu cakap dia tak rasa sakit.
"Tapi kelmarin bila doktor periksa, cyst itu membesar kepada 11 sentimeter.
"Saya harap ibu kuat...sebab dia seorang yang suka berfikir...kadang-kadang suka termenung mungkin sebab ibu tidak pernah ada sakit lain. Jadi bila dapat tahu ada ketumbuhan ini dia agak bimbang sedikit," katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku ini berkata, dia juga bersyukur dapat bertemu ibunya baru-baru ini sebelum dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan.
"Saya harap peminat juga dapat doakan semoga urusan ibu saya dipermudahkan," katanya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram