SEJAK empat tahun lalu, makanan barat hasil ‘air tangan’ Cef Mohammad Ridhuan Seman, di sebuah kafe di Tanah Merah amat dinantikan pelanggan.
Namun akibat pandemik Covid-19, kafe tempat pemuda berusia 30 tahun itu bekerja turut menerima tempias menyebabkan pemiliknya membuat sistem penggiliran kerja.Tidak patah semangat, Mohammad Ridhuan mengambil keputusan menghasilkan dompet kulit lembu sebagai pendapatan sampingan.
Mohammad Ridhuan berkata, selain mencari pendapatan sampingan dalam tempoh sukar ini, minatnya terhadap barangan kulit mendorongnya memberanikan diri menceburi bidang baharu selain daripada kemahirannya di dapur, sejak Mac lalu.
"Saya belajar menjahit beg kulit menerusi beberapa kaedah seperti melihat di YouTube, belajar dengan rakan selain memiliki kemahiran asas reka bentuk ketika belajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Bercerita lanjut, pemuda yang berasal dari Kampung Bukit Tebu itu berkata, dia memperoleh bekalan kulit lembu sebagai bahan utama produk jahitannya dari Indonesia.
"Setiap satu dompet yang dihasilkan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan bergantung kepada saiz. Sekarang saya mampu menjual lapan hingga 10 dompet sebulan yang dijual pada harga RM45 hingga RM100 setiap satu,” kata bapa kepada seorang cahaya mata ini.
Keputusan Mohammad Ridhuan nyata berbaloi kerana dia kini tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
"Pembuatan dompet kulit jahitan tangan kini menjadi pendapatan sampingan saya. Permintaan semakin meningkat namun bekalan kulit lembu dari Indonesia lambat sampai disebabkan itu saya terpaksa membuat giliran tempahan kepada pelanggan,” katanya mengakhiri bicara. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram