[VIDEO] 'Pihak berkuasa jangan tidur', orang awam resah Pasar Borong Selayang dikuasai peniaga warga asing


  • Tular
  • Isnin, 10 Feb 2025

Orang awam kecewa melihat Pasar Borong Selayang tanpa kelibat seorang pun peniaga tempatan.

PASAR Borong Selayang, Selangor sekali lagi menjadi tumpuan selepas tular sebuah rakaman di media sosial yang mendakwa kawasan tersebut kini dikuasai sepenuhnya oleh peniaga asing.

Video yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial, Papa Joe menunjukkan suasana di pasar borong itu yang didakwa tanpa seorang pun kelibat peniaga tempatan.

"Tiada seorang pun peniaga tempatan kelihatan. Yang ada hanyalah peniaga Bangladesh," katanya dalam rakaman video yang diambil pada Ahad.

BACA LAGI: PLKN 3.0 beri peluang remaja fahami sistem pilihan raya, kembangkan bakat kepimpinan

BACA LAGI: [VIDEO] Bertarung nyawa 12 jam di bawah runtuhan, 3 pekerja maut bangunan di tapak pembinaan haram tiba-tiba runtuh di Sepanyol

Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang peranan pihak berkuasa dalam mengawal situasi ini.

"Di manakah pihak berkuasa?," soal Papa Joe dalam rakaman yang sama.

Rakaman itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mempertikaikan tindakan pihak berkuasa.

"Saya geram melihat situasi ini. Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terletak begitu dekat, tetapi tiada sebarang tindakan diambil," luah seorang pengguna media sosial, Tia Desky.

Sebagai rekod, Pasar Borong Selayang terletak di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Rohana Yusof turut meluahkan rasa kesal terhadap keadaan yang berlaku.

"Memang benar, mereka telah memonopoli perniagaan di sini. Saya tidak faham bagaimana mereka boleh berniaga dengan begitu mudah di negara kita," katanya.

Dalam pada itu, pengguna lain, Azizah menyeru pihak berkuasa agar bertindak segera.

"Pihak berkuasa jangan tidur," tegasnya.

Sebelum ini, pihak berkuasa tempatan berulang kali menggempur kawasan tersebut untuk membanteras kegiatan perniagaan dalam kalangan warga asing.

Namun usaha tersebut seolah-olah menemukan jalan buntu apabila golongan tersebut akan kembali berniaga di pasar itu walaupun diserbu berulang kali.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan tersebut.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram