PADA awal tahun ini, sekumpulan remaja berusia 18 tahun diberi peluang merasai sendiri pengalaman mengendalikan sebuah pilihan raya dan membentuk kerajaan.
Mereka adalah kumpulan pertama bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, yang telah diperbaharui dengan pelbagai elemen baharu.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, simulasi pilihan raya merupakan salah satu modul utama dalam komponen kewarganegaraan dan kenegaraan, yang merangkumi 30 peratus daripada keseluruhan latihan.
"Selain itu, peserta juga didedahkan kepada kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia serta bagaimana membina persefahaman dalam masyarakat berbilang kaum," katanya dalam satu taklimat media baru-baru ini.
Komponen kewarganegaraan itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang sistem yang membentuk negara serta peranan mereka sebagai rakyat Malaysia.
Di bawah kepimpinan baharu kata Ya’cob, PLKN 3.0 bukan sekadar ingin memupuk semangat patriotisme dan jati diri nasional tetapi juga mahu melahirkan pemimpin sosial masa depan.
Selain memperkenalkan peserta kepada dunia kesukarelawanan, program itu turut mengajar mereka cara merancang dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di kawasan masing-masing serta memahami manfaatnya kepada masyarakat.
"Keistimewaan program ini ialah pengalaman selama 45 hari yang tidak boleh diperoleh di tempat lain," ujar Ya’cob.
Beliau turut menjelaskan bahawa latihan di kem tentera lebih tertumpu kepada mereka yang tidak bercadang menyambung pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagi mereka yang akan melanjutkan pengajian ke institusi awam, satu versi PLKN khas akan diperkenalkan di universiti dan kolej.
Latihan PLKN di kem tentera menggabungkan kursus kenegaraan dengan latihan ketenteraan asas bagi membentuk disiplin, meningkatkan kecergasan fizikal serta melatih kemahiran seperti navigasi dan survival di luar.
"Peserta juga akan didedahkan kepada cabaran semasa negara bagi memberikan perspektif yang lebih luas," katanya.
Antara isu utama yang diketengahkan termasuk keselamatan makanan, perubahan iklim, jenayah siber serta ancaman keganasan global.
Selain itu, PLKN 3.0 turut menyediakan modul pengurusan kehidupan bagi membantu belia dalam pengurusan kewangan, mengelakkan tingkah laku berisiko, memahami penyakit jangkitan seksual serta menjaga kesihatan mental.
“Kami juga mahu membantu belia yang tidak menyambung pengajian tinggi supaya mereka dapat mengenal pasti peluang kerjaya yang lebih stabil dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan dalam ekonomi gig,” kata Ya’cob.
Pada penghujung program, peserta akan diberikan taklimat mengenai pelbagai skim pendidikan teknikal dan vokasional serta berpeluang menyertai mini karnival kerjaya.
Struktur PLKN 3.0 dibangunkan berdasarkan maklum balas masyarakat yang dikumpulkan melalui beberapa kajian oleh universiti tempatan serta badan pemikir Kementerian Pertahanan serta Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS).
“Kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) mendapati kadar kesukarelawanan, daya saing dan semangat patriotisme dalam kalangan belia menurun selepas PLKN dihentikan pada tahun 2018,” katanya.
Ya'cob berkata, dalam kajian MiDAS pada tahun 2021, lebih 3,000 responden dari seluruh negara ditinjau mengenai keperluan menghidupkan semula PLKN.
“Lebih 85 peratus bersetuju bahawa PLKN wajar dikembalikan, 89 peratus berpandangan latihan ketenteraan asas perlu dimasukkan, manakala kira-kira 71 peratus menyatakan bahawa program seumpama ini perlu diajarkan di sekolah,” katanya.
Sehubungan itu, selain program khas untuk belia lepasan sekolah, kerajaan turut merancang versi ringkas PLKN khusus untuk pelajar Tingkatan Empat, yang dijangka dilancarkan tahun ini.
“Program ini akan diwajibkan untuk semua pelajar Tingkatan Empat, namun tempohnya lebih singkat iaitu selama tiga hari dua malam,” tambah beliau. — The Star/SHERIDAN MAHAVERA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram