Guru di Sabah, Sarawak mohon KPM beri cuti khas pulang mengundi PRN 2023


  • Massa
  • Isnin, 17 Jul 2023

SPR menetapkan tarikh 12 Ogos depan sebagai hari mengundi di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang bagi PRN

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek diminta mengumumkan cuti khas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal diadakan bulan depan.

Hal ini dibangkitkan demi memudahkan guru-guru dari Semenanjung Malaysia yang mengajar di Sabah dan Sarawak untuk pulang mengundi di negeri masing-masing.

“Mohon YB Menteri di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan cuti khas (pelepasan) hari Jumaat sebelum PRN dan Isnin selepas PRN di enam buah negeri.

“Ini bagi memudahkan urusan kami di Borneo untuk pulang mengundi. Sama-sama kita semarakkan amalan demokrasi di negara kita,” pinta seorang guru dikenali Shamsul Ahmad II menerusi hantaran di media sosial.

Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan balas di media sosial Fadhlina berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya di enam negeri dijalankan serentak dengan 29 Julai hari penaman calon, manakala 12 Ogos hari pengundian.

Hasil tinjauan di media sosial juga mendapati guru-guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak turut bersetuju dengan pendapat Shamsul.

Menurut Afdlin Zainal, sekiranya cuti khas PRN itu dilaksanakan, ia akan memudahkan lagi urusan para pendidik yang bertugas di kawasan pedalaman.

"Kalau ada cuti baguslah, memudahkan kami yang bertugas di kawasan kampung-kampung ini. Harus faham, perjalanan juga mengambil masa yang lama. Mohon dipertimbangkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek," tulisnya.

Seorang lagi guru, Ridzuan turut berharap agar KPM dapat memberikan cuti panjang untuk memudahkan urusan para guru yang balik mengundi.

"Mohon pertimbangan, bagi kami cuti. Senang nak balik. Contoh macam saya mengajar di Kapit, Sarawak ini mengambil masa sehari juga untuk pulang ke Kelantan," katanya.

Untuk rekod, SPR menetapkan tarikh 12 Ogos depan sebagai hari mengundi di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang bagi PRN. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram