PASUKAN badminton negara terus mengharumkan nama mereka di peringkat antarabangsa apabila melangkah ke separuh akhir Piala Sudirman dengan bergaya.
Selepas menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas, mereka meneruskan kemaraan dalam kejohanan dwitahunan tersebut dengan mengalahkan Denmark dengan keputusan 3-1.
Perhatian tertumpu terhadap pertembungan dua jaguh perseorangan dunia, Lee Zii Jia dan Viktor Axelsen yang dijangka hangat.
Namun, memasuki minit kelima permainan, Axelsen yang mewakili Denmark terpaksa menarik diri akibat kecederaan hamstring yang dialaminya.
Penarikan diri itu menyaksikan pasukan negara mendahului 2-0 selepas beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meraih mata pertama selepas menundukkan Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-14, 21-7.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama selepas jaguh wanita negara, Goh Jin Wei tewas kepada Mia Blichfeldt dalam pertarungan yang berlangsung selama 69 minit.
Kegusaran itu akhirnya dipadamkan beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang memastikan slot separuh akhir milik skuad kebangsaan.
Mereka yang berdepan cabaran daripada beregu no. 11 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen meraih mata dengan kemenangan 21-17, 21-16.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian dalam kemenangan juara dunia itu ialah gaya sambutannya yang jelas mencuri perhatian peminat badminton seluruh dunia.
Gaya yang lebih dikenali sebagai 'siuu' dalam kalangan peminat sukan seluruh dunia itu disambut baik penonton, lebih-lebih lagi yang hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan.
Meskipun tidak dibalas dengan cukup baik, senyuman kepuasan yang terukir di wajah Wooi Yik dan Aaron sememangnya tidak luntur apabila titik peluh mereka dihargai.
Tambahan pula, rata-rata komen di media sosial, terutamanya di Twitter menunjukkan sokongan orang ramai terhadap kedua-dua atlet negara tersebut seperti tidak pernah luntur.
"Inilah dia, gaya keraian 'siuu' yang tidak ditunjukkan kepada kita di televisyen. Terima kasih kerana berkongsi video yang dirakam secara dekat ini," tulis Plastic Shuttle.
"Sambutan kemenangan seperti itu pun mereka boleh raikan bersama-sama, itulah semangat yang kita mahu," kata Aelya.
"Kelmarin, nampak LZJ (Zii Jia) buat begini ketika menang dengan India, tak sangka Wooi Yik pun boleh terpengaruh. Apa-apa pun, selamat maju jaya ketika berdepan Korea Selatan nanti," tulis Sam 512.
Sebelum ini, Zii Jia turut meniru cara keraian berkenaan selepas menundukkan pemain no 21 dunia, S Kidambi yang mewakili India.
Menurutnya, Cristiano Ronaldo merupakan idolanya yang mana juga merupakan inspirasi buatnya serta atlet-atlet ternama seluruh dunia.
Pasukan negara selepas ini akan bertemu Korea Selatan dalam aksi separuh akhir pada Sabtu selepas pemenang edisi 2017 itu menundukkan Chinese Taipei di peringkat suku akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram