Andai ke Selangor FC, pemain ke-12 letak 'syarat' buat Mahmoud Al-Mawas


  • Podium
  • Selasa, 27 Dis 2022

Al-Mawas dikatakan sedang diintai pasukan The Red Giants bagi mengharungi saingan Liga Malaysia pada musim depan. — Facebook

PENYOKONG Selangor FC mula berteka-teki apabila pemain sayap antarabangsa Syria, Mahmoud Al-Mawas dikatakan sedang diintai pasukan The Red Giants itu pada musim depan.

Khabar angin ini didedahkan oleh pemerhati sukan, T. Avineshwaran dalam ciapannya di Twitter pada Isnin. Pemain berusia 29 tahun itu kini bermain untuk kelab Iraq, Al-Shorta SC.

Berketinggian 1.72 meter, Al-Mawas mencipta sensasi tersendiri apabila menjaringkan enam gol dalam 17 perlawanan ketika kelayakan Piala Dunia 2022.

Dia juga pernah menggondol gelaran Kasut Emas dengan 22 gol semasa membantu Al-Shorta menjulang Liga Perdana Iraq musim 2021-2022.

Selain itu, pemain sayap tersebut juga pernah beraksi dengan FC Botosani (Romania), Umm Salal (Qatar) dan Al-Arabi (Kuwait) sekali gus membuktikan dirinya sebagai ancaman kepada gol pihak lawan.

Cubaan menjaringkan gol daripada Al-Mawas ketika perlawanan saingan AFC Asian Cup 2021 antara Syria dan Iran. — Facebook

Di mata sesetengah penyokong, ketajaman Al-Mawas dirasakan dapat membantu Selangor FC mengharungi saingan Liga Super depan.

Begitupun tidak dinafikan ada juga segelintir penyokong yang skeptikal dengan khabar angin penghijrahan pemain itu ke Liga Malaysia.

Seolah-olah kekurangan wow-factor, Al-Mawas disamakan dengan peledak import Gergasi Merah ketika ini, Herlison Caion dari Brazil yang dianggap kurang menyerlah sepanjang musim ini.

"Kalau 17 game enam gol...baik kekalkan Caion saja, lebih kurang je mereka. Nak ambil import tu biar la ada kualiti dan komited," kata Mohd Syazreza Johari di laman Facebook Kelab Penyokong Selangor FC.

Tidak mahu pisang berbuah dua kali, penyokong yang juga pemain ke-12 meletakkan 'syarat' kepada Al-Mawas andai tonggak skuad antarabangsa Syria itu sah menyarungkan jersi Merah Kuning musim depan.

273763953_325596152915517_4368678094393179503_n

Al-Mawas membantu kelabnya menjulang Liga Perdana Iraq musim 2021-2022.

Seorang penyokong, Harimau Putih berkata, penyokong mahu menyaksikan 10 persembahan terawal Al-Mawas dan impak yang dibawa olehnya terhadap Selangor FC di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe.

"Siapa pemain sekali pun yang Selangor ambil termasuk Al-Mawas, kami penyokong nak tengok game pertama sampai ke-10 terawal.

"Perlawanan jangan kalah. Seri atau menang saja... kalah tak nak. Bukan nak 'bom' (hentam) team sendiri...beri kata-kata semangat je.

"Sebab kami penyokong masuk stadium beli tiket. Takut gambar pemain lebih gah, alih-alih scammer saja lebih. Main macam gampang," katanya.

Untuk rekod, setakat ini, Selangor mengesahkan khidmat pemain tempatan, V. Ruventhiran, Khuzaimi Piee dan Faisal Halim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram