BERSTATUS pinjaman tidak menjadi alasan buat pemain Terengganu FC (TFC), Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim untuk memberikan persembahan terbaik kepada skuad Penyu sekali gus membantu TFC mendapat kedudukan tiga teratas dalam Liga Super 2022.
Pemain berusia 25 tahun itu dipinjamkan dari Selangor FC selama enam bulan pada jendela perpindahan kedua musim ini.
Nik Sharif kelihatan cukup serasi bersama barisan pemain TFC dan dia juga dilihat sesuai dengan corak permainan ketua jurulatih skuad Penyu, Nafuzi Zain.
Kepercayaan Nafuzi terhadap pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu dapat dibuktikan apabila jurulatih itu memberi peluang kepada untuk menambah minit permainan.
Nik Sharif berjaya menjaringkan dua gol bersama ketika Terengganu FC. — Facebook/TFC
Setakat ini, pemain tengah itu sudah beraksi sebanyak 15 kali dalam saingan liga dan menjaring dua gol serta dua bantuan kepada TFC.
Kehebatannya itu membuatkan ramai penyokong skuad Penyu menuntut agar pihak pengurusan mengikat Nik Sharif agar khidmatnya boleh digunakan pada musim depan.
Selain kelincahan Nik Sharif yang disukai penyokong, keperibadian pemain itu turut mendapat pujian.
Rakaman aksi Nik Sharif sewaktu minum air.
Dalam satu video tular di laman Facebook, seorang pengguna akaun bernama Raisa Auni memuji sikap Nik Sharif yang meminum air dalam keadaan duduk sedangkan rakan pasukan lain hanya bediri.
Aksi itu dirakam sewaktu perlawanan TFC menentang Melaka United yang mana pemain mencuri peluang untuk mengumpul tenaga dan meminum air.
Tangkap layar kelakuan Nik Sharif yang mendapat pujian penyokong. — Facebook/Terengganu FC
“Sepatah dua kata semua..beradab betul Nik mimum air. Patutlah ramai penyokong senang dengan Nik. Pakej terus, bijak, baik. Harap TFC ikat dia musim depan. Perlahan-lahan jadi orang Terengganu,” tulisnya.
“Pakai pun tutup aurat. Semoga terus kekal dengan adat dan agama. InshaaALLAH,” sokong penyokong TFC, Mohd Zamani.
“Nik ini amal dari dulu lagi minum duduk dan bertutup aurat. Bagus,” kata penyokong skuad Penyu, Ahmadi Maliki.
Bagi penyokong TFC, keperibadian Nik Sharif seperti minum dalam keadaan duduk dan menutup aurat wajar dijadikan contoh oleh pemain-pemain lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram