PENYOKONG Gergasi Merah mendesak pihak pengurusan supaya melakukan rombakan segera selepas pasukan Selangor menampilkan prestasi yang tidak konsisten apabila tewas dalam lima perlawanan terakhir.
Baru-baru ini, selepas tewas kepada PJ City FC pada 21 Ogos, penyokong Selangor FC bertindak berkumpul di perkarangan Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selangor bagi meluahkan rasa ketidakpuasaan hati kepada pihak pengurusan.
Mungkin disebabkan itu, seorang penyokong bola sepak memuat naik satu hantaran melalui laman sosial Twitter, salah seorang individu dalam barisan kempimpinan pengurusan Selangor FC, Izhar Moslim yang dikhabarkan sudah meletakkan jawatannya sejak dua tahun lepas.
Tetapi timbul persoalan dalam kalangan penyokong Selangor apabila individu tersebut sebelum ini pernah meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden SFC pada 2020 dan kenapa dia didakwa masih berada dalam pengurusan pasukan sehingga kini?
Selangor tewas kepada PJ City 0-1 sekali gus membangkitkan kemarahan penyokong Gergasi Merah. — Selangor FC
Di ruangan komen Twitter, rata-rata penyokong bola sepak berasa hairan dan mempersoalkan kedudukan sebenar individu tersebut dalam barisan kempimpinan skuad juara 34 kali Piala Malaysia itu.
"Kalau macam itu nampak gayanya penyokong Selangor memang kena tipu hidup-hidup, sebab sebelum ini kata dah letak jawatan," kata @Army4769.
"Berapa kali nak letak jawatan dah?" luah @Muhdriiduan.
"Takkan senang-senang dia nak letak jawatan, orang-orang parasit ini kita tahu diorang muka tebal, kena maki pun tak jalan," ujar @Kidoakidfdf.
"Sebelum ini dah letak jawatan sebagai naib presiden, kenapa tiba-tiba letak jawatan balik? Patut TMJ bising dalam Instagram sebelum ini," ujar @MohdMursyid.
Terdahulu Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) memuat naik satu hantaran InstaStory mengenai Izhar yang berada dalam barisan pengurusan Selangor FC mengenai salah laku individu tersebut dalam pengurusan.
Dakwa TMJ, individu berkenaan melantik kroninya untuk berada dalam pengurusan pasukan dan merupakan punca utama kepada kemerosotan Selangor FC dalam beberapa musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram