Penyokong tak suka Arif Aiman ke Eropah, bimbang jadi 'pekasam'


  • Podium
  • Selasa, 17 Mei 2022

Arif Aiman melakukan debutnya bersama skuad utama JDT pada Mac 2020 ketika usia 17 tahun.

BINTANG Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjadi bualan hangat peminat bola sepak tempatan selepas menampilkan persembahan menakjubkan dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.

Kagum dengan prestasi cemerlang di bahagian sayap pasukan, ada pihak yang berpandangan bahawa pemain muda itu perlu dilepaskan oleh JDT supaya dia boleh menimba pengalaman di kelab-kelab bola sepak Eropah.

Perkara itu turut diutarakan oleh pemilik akaun Facebook, Md Suhaimi menerusi hantaran di grup Semuanya BOLA Group

arif aiman komen 1

Katanya, perkara itu perlu dilakukan oleh skuad Harimau Selatan untuk masa depan Arif Aiman dan juga pasukan negara.

"JDT wajib melepaskan Arif Aiman berkelana bermain di kelab-kelab di Eropah demi kebaikan masa depan dia dan juga pasukan negara," tulisnya.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh segelintir penyokong JDT yang menyatakan bahawa bakat Arif Aiman belum tentu akan dihargai jika bermain di kelab Eropah.

Seorang pemilik akaun, Mohd Shah Jawahir menyatakan bahawa Arif Aiman lebih baik tinggal di JDT kerana dia boleh mendapat semua pendedahan yang diperlukan bersama pasukan itu.

"Arif Aiman bagus kekal di JDT, hijrah keluar tak jamin dapat tempat dan pendedahan.

"Di JDT dia boleh dapat segalanya," katanya.

arif aiman komen 2

Selain itu, ada juga peminat yang tidak bersetuju kerana tidak mahu nasibnya menjadi seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Safawi Rasid yang menjadi bahan sindiran di Eropah.

Perkara itu turut dikongsi oleh Tok Keladi yang turut menyatakan bahawa hakikatnya kelab luar tidak berminat dengan pemain tempatan.

"Daripada jadi seperti Luqman Hakim dan Safawi, lebih baik Arif Aiman main untuk JDT sahaja.

"Orang kita baru hebat sedikit sudah sibuk suruh main kelab luar, orang luar tak berminat dengan pemain kita, kalau ambil hanya jadi 'pekasam' sahaja," ujarnya.

arif aiman komen 3

Sementara itu, Beb Boten pula memberi pandangan berbeza dengan menyatakan bahawa tidak salah jika ada kelab luar yang berminat untuk mengambil Arif Aiman tetapi perlu ada satu perjanjian yang memberi jaminan agar bakatnya tidak disia-siakan.

"Kalau ada kelab datang dengan tawaran yang sesuai, Tengku Mahkota Johor (TMJ) lebih arif untuk uruskan, takkan tiba-tiba mahu cari kelab lain untuk jual pemain terbaik sendiri.

"Biar kelab lain yang datang bagi tawaran mahu beli, kalau nak jual atau pinjamkan pun mesti letak syarat-syarat tertentu, contohnya minit permainan atau kalau tidak bermain untuk jangka masa tertentu boleh panggil balik atau beli dengan nilai tertentu," komennya.

arif aiman komen 4

Arif Aiman melakukan debutnya bersama skuad utama JDT pada Mac 2020 ketika usia 17 tahun dan menjadi antara pemain muda yang beraksi bersama kelab terbaik di Malaysia.

Dia mula mendapat kepercayaan Mora hingga berjaya mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama selepas persembahan cemerlang pada minit terakhir perlawanan menentang Felda United menggantikan Nazmi Faiz Mansor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram