Jordi sarung jersi JDT... Bukan pemain import dapat nama, tapi Malaysia


  • Podium
  • Selasa, 17 Mei 2022

Bekas pertahanan Swansea itu dikhabarkan sudah melengkapkan proses naturalisasinya pada 15 Mei lalu serta berada dalam radar pasukan Harimau Selatan.

BINTANG pertahanan Eropah yang baru sahaja dinaturalisasikan oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Jordi Amat dilaporkan hanya tinggal selangkah untuk menyertai pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran Instagram Story oleh media Indonesia, Gosball yang menjelaskan mengenai situasi pemain baharu mereka itu.

Jordi dilaporkan akan menyertai pasukan JDT sebagai slot pemain import Asean kerana telah berstatus warganegara Indonesia.

Pengumuman rasmi juga dikhabarkan bakal dibuat dalam masa terdekat untuk memperkenalkan pemain baharu itu.

jdt jordi

Hantaran Instagram Story oleh media Indonesia, Gosball berhubung status terbaharu Jordi yang dikatakan akan menyertai JDT. — Instagram

Rata-rata penyokong JDT menyifatkan perpindahan pemain berdarah Sepanyol itu akan menguatkan lagi skuad Harimau Selatan.

Seorang penyokong menggunakan nama Lag Lag berkata, ini kerana JDT bukan sahaja bermain di Liga Malaysia tetapi turut beraksi di pentas Asia menerusi Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Lagi kuat lagi bagus sebab JDT bukan sahaja main di Liga Malaysia tapi di ACL. Itu yang penting bagi team tambah kuat. Apabila JDT menjadi juara di ACL, yang dapat nama bukan import tapi Malaysia juga yang disebut orang luar.

"Takkanlah main dalam Liga Malaysia saja, tiada peningkatan orang akan cakap," katanya di ruangan komen Facebook penyokong JDT Fans Team.

Lag Lag juga meninggalkan pesanan kepada haters JDT bahawa kritikan mereka hanya akan menjadi pendorong skuad itu untuk terus maju ke hadapan.

"Kepada haters yang kutuk tak suka JDT, berapa gaji kamu? Dapat ganjaran ke buat macam tu? Dan lagi satu, JDT makin kamu kutuk, makin maju ke hadapan, bukan mundur ke belakang bos," katanya.

2d0557ea-ae7b-4b10-a4fe-fefff3aa9a26

Komen penyokong terhadap penyertaan Jordi Amat ke JDT. — Facebook

Setakat ini, masih tiada sebarang kenyataan rasmi yang diumumkan oleh Johor Southern Tigers mengenai penyertaan Jordi ke skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Untuk rekod, bekas pertahanan Swansea itu dikhabarkan sudah melengkapkan proses naturalisasinya pada 15 Mei lalu sebelum dilaporkan berada dalam radar pasukan Harimau Selatan.

Pemain berusia 31 tahun itu sedang menikmati perjalanan karier yang amat memberangsangkan apabila menjadi watak penting buat kelab KSA Eupen musim ini.

Beliau telah turun hampir 27 perlawanan sebagai kesebelasan utama dan menjadi kapten disebabkan pengalaman yang cukup luasnya beraksi di Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram