Banjir Janda Baik jejaskan pengusaha pusat peranginan


  • Massa
  • Khamis, 12 Mei 2022

Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Janda Baik kira-kira pukul 5.30 pagi semalam. — JBPM PAHANG

KEJADIAN banjir yang melanda beberapa kampung di Janda Baik, Bentong, Pahang pada awal pagi Rabu mengejutkan penduduk kerana hanya dua jam hujan lebat turun sudah menjejaskan kira-kira 140 buah rumah di kawasan berkenaan.

Semakan Majoriti di media sosial memaparkan bukan hanya penduduk yang berasa kecewa dengan kejadian berkenaan, malah pengusaha-pengusaha chalet juga melahirkan rasa sedih kerana kerugian menjejaskan pusat pelancongan di situ.

Rata-rata pengguna media sosial menzahirkan rasa simpati dan kecewa dengan kejadian banjir itu kerana ramai pengusaha-pengusaha chalet yang baru sahaja ingin pulih dari rugi akibat banjir tahun lepas namun kini terpaksa menanggung kos baik pulih lagi.

banjir 2

Sebahagian penduduk kampung yang keluar melihat banjir berkenaan.

Pada banjir tahun lalu sahaja sebanyak 33 buah daripada 54 tempat peranginan atau resort dan chalet di Janda Baik musnah teruk dengan kerosakan dianggarkan di antara RM157,500 hingga RM6 juta bagi setiap tempat peranginan atau chalet.

"Semoga dipermudahkan urusan pengusaha-pengusaha campsite di Janda Baik. Baru saja nak bangkit, diuji dengan banjir sekali lagi," ujar pengguna Facebook, Madamme Momsey.

"Ini keadaan Janda baik di Pulau Santap 12 Mac 2022 selepas kena banjir bulan 12 tu... Ini pun dah teruk tak cantik macam dulu... Habis semua chalet tepi tu hancur... Sekarang kena lagi banjir.. Semoga Allah permudahkan urusan semua owner chalet. Kata makcik pemilik gazebo tepi tu, kerajaan ada bagi bantuan sikit tapi tak cukup untuk menampung kos kesuluruhan," kata Izzy Al-Yahya yang berkongsi pengalaman menginap di salah satu chalet di Janda Baik.

"Ada pergi sehari sebelum puasa hari tu memang sudah berubah bentuk muka sungai dekat sana.berselerak habis..dah penuh-penuh batu tapi macam dah tidak cantik macam dulu. Laluan air dah lari makin cetek..ini lagi sekali banjir kesiannya..chalet-chalet tepi dulu pun catik saja," kata Noray Shasha yang berpendapat banjir melanda Janda Baik merosakkan ekosistem di kawasan itu.

Tidak kurang juga ada pengguna media sosial yang berasa kecewa kerana akibat banjir berkenaan mereka tidak dapat meneruskan rancangan untuk bercuti di Janda Baik.

"Kesihannya ya Allah..Jumaat ini baru plan nak turun ke Janda Baik..semoga dipermudahkan urusan sahabat-sahabat di Janda Baik," kata Azwira Mohd Amin.

Pada Rabu, media melaporkan sebanyak 42 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi selamat selepas beberapa perkampungan di Janda Baik dilanda banjir kilat akibat hujan berterusan sejak malam Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram