Muak isu pelarian Rohingya, netizen mahu kerajaan lebih tegas


Sebahagian tahanan imigresen Sungai Bakap yang meloloskan diri pada awal pagi Rabu. — Facebook

KECOH pada minggu ini isu kejadian rusuhan yang berlaku di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang yang menyaksikan lebih 500 pendatang asing tanpa izin (Pati) melarikan diri awal pagi Rabu.

Rusuhan itu dipercayai bermula dengan protes yang berlaku kira-kira pukul 5 pagi Rabu dengan membabitkan sejumlah 528 tahanan etnik Rohingya.

Selain masalah rusuhan tersebut, pelbagai isu negatif yang melibatkan pelarian Rohingya ini seperti kelakuan biadab mereka terhadap orang awam dan rata-ratanya masalah mereka ini menjadi kerisauan rakyat serta pihak berkuasa.

Rentetan masalah yang dicetuskan etnik Rohingya, pengguna Facebook Munirz Langgaq berpendapat pihak berkuasa perlu memikirkan jalan terbaik untuk menangani isu itu dengan melakukan sesuatu yang lebih mendatangkan keuntungan kepada negara namun masih menjaga keselamatan orang awam.

cadangan

Tangkap layar pendapat yang diutarakan oleh pengguna Facebook itu.

"Antara solusi yang Paktam boleh utarakan, walaupun idea yang tidak berapa bijak. Kita perlu tegas dengan kehadiran pelarian Rohingya ini yang semakin berleluasa terlibat dalam pelbagai sektor didalam negara kita.

"Sedar tidak sedar pusingan ekonomi dalam kalangan pelarian Rohingya ini tidak mendatangkan keuntungan kepada negara. Oleh itu, kita perlu melakukan beberapa tindakan yang akan menguntungkan ekonomi negara," katanya.

Menurutnya antara tindakan yang boleh dilaksanakan ialah dengan mengehadkan upah kerja harian kepada pelarian Rohingya yang mana majikan mahupun pihak berkuasa perlu bertegas untuk menetapkan kadar gaji mereka.

Selain itu, dia turut mengutarakan ketidakpuasannya terhadap pelarian etnik Rohingya yang seakan menikmati kehidupan selesa tinggal di negara seperti rakyat Malaysia lain.

"Walaupun pelarian Rohingya ini bebas melakukan apa sahaja, negara boleh memikirkan satu caj yang boleh dikenakan kepada pelarian ini, kerana pelarian Rohingya ini umpama menikmati keselesaan negara yang saksama dengan rakyat Malaysia. Sangat tidak adil.

"Mewujudkan satu badan yang mengumpul dan menyelaras populasi pelarian Rohingya ini dengan mewujudkan satu kad identiti kebebasan bergerak di dalam negara. Kad ini perlu diperbaharui setiap tahun.

"Memastikan pelarian Rohingya menjadi tenaga kerja sahaja, bukan menerokai satu-satu bidang," katanya.

Pengguna Facebook itu berharap agar pihak berkuasa Malaysia dapat menyelesaikan isu pelarian etnik itu dengan kadar segera di samping menjaga kesejahteraan orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram