Tahanan lari depot, KDN buat siasatan menyeluruh


  • Primer
  • Khamis, 21 Apr 2022

Hamzah semasa melancarkan Mushaf Al-Quran sempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Sepang, Selangor pada Khamis.

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, pihaknya akan membuat siasatan menyeluruh berhubung siapakah dalang sebenar di sebalik insiden rusuhan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Rabu.

"Kita akan lakukan siasatan mengenai siapakah dalang berkenaan isu itu.

"Setakat ini sudah ada 424 berjaya ditangkap semula dan yang masih bebas sebanyak 105 orang tahanan setakat pukul 7.00 malam tadi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Sepang, Selangor pada Khamis.

Sehubungan dengan itu, Hamzah berkata, mangsa yang telah meninggal dunia ketika insiden rusuhan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang akan diuruskan mengikut undang-undang.

"Tahanan yang meninggal semasa lari itu kami ucapkan takziah tetapi segala apa yang berlaku itu kita kena ikut undang-undang juga iaitu buat post-mortem siapa mereka, siapa keluarga mereka.

"Sama ada nak meletakkan mereka ditempat sama itu itu tidak payah ceritalah. Kita ada beberapa depot yang ada. Sana sikit, sini sikit, kita tidak kumpulkan mereka lagi," katanya.

Menurut Hamzah, kecenderungan mereka untuk lari adalah kerana inginkan kebebasan ekoran sudah dua tahun mereka ditahan.

"Sebenarnya mereka ini telah ditahan lama, kita nak maklumkan kepada mereka yang ingin sangat datang ke sini. Walaupun di atas sifat kemanusiaan kita menjaga mereka tapi tidak bermakna kita nak mereka ada di sini.

"Sebab itu kita tahan ikut undang-undang kita kerana mereka tiada dokumen. Kalau kita membebaskan mereka the pulling factor untuk pendatang lain akan datang.

"Selepas dua tahun kita tahan, sebab itulah mereka nak bebas, nak lari. Apabila mereka lari ini, kita akan tahan semula mengikut undang-undang," jelasnya.

Terdahulu media melaporkan satu kejadian rusuhan dilaporkan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang yang menyaksikan lebih 500 pendatang asing tanpa izin (Pati) melarikan diri awal pagi Rabu.

Rusuhan itu dipercayai bermula dengan protes yang berlaku kira-kira pukul 5 pagi Rabu dengan membabitkan sejumlah 528 tahanan etnik Rohingya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram