Kes basikal lajak: Sam Ke Ting adalah mangsa yang sebenarnya


Ke Ting didakwa kerana menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu.

SAM Ke Ting adalah mangsa dalam kes ini, itu merupakan pandangan beberapa warga sosial media yang menegakkan keadilan bagi pihak wanita itu yang didakwa menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu.

Berkongsi pandangan di Facebook, seorang pemilik akaun, Zetty Hulwany Zahid menceritakan pengalaman berdepan detik cemas melibatkan penunggang basikal lajak sewaktu dalam perjalanan balik ke kampung mentua di di Kuala Terengganu, Terengganu pada awal pagi.

"Kami sekeluarga sejenis bergerak malam. Biasanya lepas Maghrib atau Isyak. Kebiasaan kami akan bergilir drive. Jadi malam itu selepas hentian terakhir, giliran saya pula yang memandu.

"Dalam perjalanan dari Ajil menghala ke Kuala Terengganu, sewaktu memandu dekat jalan yang sunyi tiba-tiba ada sekumpulan budak berbasikal buat pusingan u dari arah bertentangan, berderau rasa, saya terus tekan brek," katanya.

Tambahnya lagi, mengenangkan keadaan itu Zetty terfikir jika malam itu dia terlanggar 'budak berbasikal' itu, sudah pasti nasibnya akan sama seperti Ke Ting.

Tulisnya lagi, dia tidak bersetuju dengan pandangan bahawa pengajaran dalam kes ini diletakkan pada pemandu dan bukan pada ibu bapa yang membiarkan anak-anak melepak hingga awal pagi.

"Sakit hati baca ibu mangsa kata lega pesalah di hukum.

"Pengajaran kepada semua pemandu agar berhati-hati tiada pula cakap pengajaran pada ibu bapa yang tak sedar atau tidak ambik tahu atau biarkan anak bawah umur keluar rumah pagi-pagi buta.

"Mangsa yang sebenar adalah Sam Ke Ting," ujarnya.

Sementara itu seorang lagi pemilik akaun, Khairi Zulfadhli pula mempertikaikan pandangan segelintir pihak yang mempertikaikan mengapa Ke Ting balik lewat pada pukul 3 pagi.

Kongsinya, perkara itu tidak sepatutnya dipersoalkan kerana bukan semua orang mempunyai waktu kerja yang sama iaitu 9 pagi hingga 5 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram