MAHKAMAH Rayuan Putrajaya pada Isnin membenarkan kerani wanita, Sam Ke Ting menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk P Ravinthran bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebulat suara membenarkan permohonan Ke Ting yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar.
Panel membenarkan wanita itu dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, sekali gus menyebabkan kerani itu dibebaskan sementara dengan ikat jamin sehingga rayuan didengar.
Panel hakim membenarkan Ke Ting, 27, yang memakai baju kurung berwarna biru merayu terhadap hukuman itu di Mahkamah Rayuan.
Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 (atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda) terhadap Ke Ting, berkuat kuasa serta-merta.
Dalam prosiding itu, Abu Bakar turut menolak permohonan wanita terbabit untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Pada 18 Febuari 2017, lapan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menunggang basikal lajak, maut dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.
Pada 28 Mac 2017, pemandu wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal.
Ke Ting ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada pukul 3.20 pagi, 18 Februari 2017.
Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Pada 28 Oktober 2019, dia dibebaskan oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan berkenaan.
18 Febuari 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan pemandu wanita itu membela diri atas pertuduhan berkenaa selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Ke Ting.
10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskannya.
Sehari kemudian, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan itu.
Bagaimanapun pada 13 April lalu, Mahkamah Tinggi mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret dan memerintahkan Ke Ting dipenjara enam tahun, denda RM6,000.
Keesokkan harinya, peguam yang mewakili wanita itu, Muhammad Faizal Mokhtar memfailkan notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram