'Silakan datang ke masjid kami, tidak kira tiada dos hatta over-dose'


  • Primer
  • Ahad, 27 Feb 2022

TIADA sebarang perubahan dilakukan untuk SOP kehadiran jemaah di masjid di Pahang. —The Star

PROSEDUR operasi standard (SOP) di masjid menjadi perbualan hangat ramai di media sosial apabila ada yang membanding-bandingkan ketetapan di beberapa negeri di Malaysia.

Yang menjadi perhatian adalah SOP masjid di Pahang yang mana berdasarkan sebuah komen di media sosial dari Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang, ketetapan di masjid itu masih kekal membenarkan semua jemaah sama ada lengkap dos vaksin atau sebaliknya beribadat di sana.

"Silakan semua datang ke masjid kami. Tak kira yang sudah lengkap dos, tiada hos, hatta yang over-dose. Ahlan wa sahlan," komen pihak masjid itu dalam ruangan media sosial.

Pahang sebelum ni membenarkan kehadiran jemaah yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di surau serta masjid berdasarkan SOP baharu yang dikuatkuasakan sejak September 2021.

Berdasarkan portal Jabatan Agama Islam Pahang, tiada sebarang perubahan dilakukan untuk SOP kehadiran jemaah di masjid meskipun dalam keadaan kes harian yang semakin meningkat susulan penularan varian Omicron.

Hal ini yang membuatkan ramai mempersoalkan tindakan beberapa negeri seperti Selangor yang hanya memberikan kebenaran buat jemaah yang menerima lengkap divaksin serta menerima dos penggalak.

Selangor pada Jumaat menguatkuasakan ketetapan terkini berhubung kehadiran solat Jumaat di masjid seluruh negeri Selangor termasuk mewajibkan pengambilan dos penggalak.

Sementara itu di Pulau Pinang, berdasarkan laporan di Sinar Harian, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, negeri itu masih mengikut SOP seperti sebelum ini yang mana jemaah perlu melengkapkan dua dos vaksin untuk bersolat di masjid atau surau.

Majoriti cuba berhubung dengan pihak JAIP untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung SOP masjid di negeri itu dan masih menunggu maklum balas mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram