Tidak ikut jejak Selangor, JAIP teliti SOP solat jemaah di Pahang


  • Primer
  • Ahad, 27 Feb 2022

SOP terkini Pahang mungkin tidak akan mengikut ketetapan yagng dibuat di negeri lain. — Agensi

JABATAN Agama Islam Pahang (JAIP) akan mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) kehadiran jemaah di masjid-masjid negeri itu.

Menurut Pengarah JAIP, Datuk Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz, pihaknya bakal mengadakan bengkel bagi membincangkan tentang perkara berkenaan.

"InsyaALLAH kita akan adakan bengkel utk update (kemaskini) SOP nanti.

"Perkara ini akan dibincangkan dengan meneliti dan mengkaji keadaan semasa," katanya kepada Majoriti.

Diminta mengulas berhubung adakah SOP terkini masjid di Pahang bakal mengikut jejak langkah Selangor dan Pulau Pinang, Zulkifle memberitahu, ketetapan di negeri itu mungkin tidak akan mengikut negeri lain.

Katanya lagi setakat ini, Pahang masih mengguna pakai SOP sedia ada seperti yang dikuatkuasakan sejak September 2021.

Terdahulu satu komen ringkas dari akaun Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang mencetus perbualan hangat di media sosial yang membandingkan SOP kehadiran jemaah di negeri itu dan beberapa negeri lain.

Setakat ini, berdasarkan portal Jabatan Agama Islam Pahang, SOP kehadiran jemaaah di masjid sekitar Pahang masih membenarkan kehadiran jemaah yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat di surau serta masjid.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram