SALURAN televisyen kanak-kanak merupakan salah satu medium pendidikan awal yang membantu perkembangan minda di awal usia.
Namun, apa yang membimbangkan pada ketika ini ada pihak mendakwa, terdapat rancangan yang menyelitkan elemen-elemen yang tidak sepatutnya sehingga boleh memesongkan akidah kanak-kanak.
Satu status di laman sosial Facebook Mia Al-aydrus berkongsi tentang perkara itu yang dikatakan berlaku dalam satu rancangan kanak-kanak di sebuah saluran televisyen swasta.
Kongsinya, dalam satu rancangan di saluran Moonbug kids, terdapat sebuah kartun yang membawakan elemen homoseksual atau LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).
Dakwanya, dalam rancangan itu memaparkan seorang kanak-kanak yang mempunyai dua orang ayah.
Tulisnya lagi, hal itu amat membimbangkan kerana ia boleh memesongkan akidah anak-anak Islam yang akan menganggap bahawa keluarga LGBT itu normal.
"Biasanya kita tengok lagu johny johny yes papa ada seorang ayah. Tapi di saluran Astro Moonbug kids, johny ada dua orang papa. Lirik dia pun sebut “yes papas”.
"Tak mustahil budak-budak akan fikir “dua ayah” itu adalah normal. Tanpa kita sedari inilah jarum-jarum halus yang cuba merosakkan akidah anak-anak islam.," luahnya.
Katanya lagi, sebelum ini dia sudah menyedari banyak elemen lain yang kuat mencerminkan elemen LGBT dalam rancangan berkenaan seperti kedua-dua bapa berkenaan memakai cincin pernikahan di jari manis.
"Sebelum ni dah perasan satu benda fishy dalam lagu lain. Ada bingkai gambar dan kek bercorak garisan warna pelangi. Rasanya ramai yang tahu bendera pelangi adalah simbol LGBT.
"Jadi mak ayah perlu prihatin terhadap kandungan rancangan yang ditontonkan kepada anak-anak dan elakkan benda-benda macam ni (LGBT) dinormalisasikan dalam kalangan anak kecil," ujarnya.
Menerusi hantaran tersebut, Mia turut berkongsi gambar rancangan berkenaan untuk menguatkan lagi dakwaannya.
Majoriti sedang menunggu respons penerbit saluran swasta berkenaan dakwaan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram