Desak KKM ambil serius rungutan rakyat berhubung dos penggalak


PENERIMA vaksin mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu. — Bernama

ISU dos penggalak Covid-19 menjadi perbincangan hangat semula di media sosial selepas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Astri Zainul Abidin meminta Kementerian Kesihatan (KKM) agar memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak.

Saranan itu dilontarkan selepas bapanya mula mengalami gejala muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima dos ketiga vaksin Covid-19.

Tambah Mohd Asri, ayahnya terkena sekali lagi strok di bahagian yang sensitif di kepala namun tidak mengetahui punca sebenarnya lagi.

Beliau turut memohon KKM membuat perincian terhadap sebarang kes yang didakwa berkaitan dengan pengambilan dos penggalak.

Sependapat dengan beliau, seorang pengguna Facebook, Raja Gelap turut memberi saranan agar KKM menghentikan pemberian dos penggalak buat sementara waktu bagi mencari punca sebenar tentang perkara tersebut.

" Kaji dahulu. Sebab ada yang teruk kesannya. Ada yang tak apa-apa. Lihat trend dan fahami apa yang menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

"Mesti ada 'pre-condition' pada orang yang terkesan teruk selepas diberi dos penggalak. Kajian ini penting supaya dos ini tidak diberikan kepada orang yang tidak sepatutnya.

"Mungkin sebab tahap kesihatan seseorang. Atau mungkin kerana kacukan vaksin. Mungkin juga disebabkan pemakanan atau lain-lain. Kita tak tahu sebab kita tak kaji.

"Selepas kajian terperinci dibuat, selepas kita faham apa punca kejadian ini, sambunglah semula beri dos penggalak," dakwanya.

Dakwanya lagi, dia percaya vaksin Covid-19 membantu mengekang jangkitan wabak itu namun masih ragu-ragu dengan tahap keberkesanan dos penggalak.

"Saya jadi begitu disebabkan oleh sikap tak endah KKM terhadap rungutan rakyat.

"Sebab itu saya mohon kerajaan kaji dulu secara serius dan mendalam. Biarlah pakar bebas yang buat kajian kerana rakyat sudah tak percaya dengan pakar di kementerian.

"Kalau dah ada data, kementerian boleh bentangkan dengan penuh yakin, saya percaya lebih ramai yang akan sukarela untuk menerima dos ini. Tapi kenapa susah sangat nak buat?" dakwanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram