Rakyat bengang, pas perjalanan RapidKL My30 ditukar My50


MY50 menggantikan pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan kerajaan di bawah skim Penjana pada Jun 2020. — The Star

WARGANET di laman media sosial Twitter berang selepas pihak Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Kuala Lumpur (Rapid KL) mengumumkan penawaran pas perjalanan tanpa had ‘My30’ akan ditamatkan pada 31 Disember 2021 dan ditukarkan menjadi ‘My50’ bermula 1 Januari 2022.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Wee Ka Siong pada Isnin, pengenalan pas perjalanan ‘My50’ itu adalah bukti bahawa kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

Pada 2019, pas perjalanan tanpa had bulanan itu berharga RM100 namun pas My30 telah diperkenalkan pada Jun 2020 berikutan Covid-19 namun warganet masih berharap pas tersebut ditetapkan pada RM30 kerana pas itu sangat membantu dalam berjimat wang perbelanjaan terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah.

"Selepas banjir paling teruk di Lembah Klang yang menyaksikan ribuan rumah, kereta dan kewangan musnah, adakah wajar untuk menaikkan harga pengangkutan awam?" ciapan pengguna Twitter, @ladykirat.

WhatsApp Image 2021-12-29 at 12.50.20

CIAPAN Twitter dari pengguna ladykirat.

"My50 adalah separuh daripada harga My100 tetapi saya masih berharap kami dapat mengekalkan My30. Ia sangat membantu rakyat Malaysia dalam kumpulan berpendapatan rendah.

"Saya melihat sesetengah orang mengatakan My50 masih lebih murah daripada harga asal My100 yang dilaksanakan sebelum Covid-19. Betul murah tapi Covid-19 masih ada dan banjir baru-baru ini telah memburukkan keadaan untuk beribu-ribu yang tinggal di Lembah Klang. Jika kerajaan ini mengambil berat tentang rakyat, mereka akan melanjutkan My30," kata pengguna Twitter, BurhanPlays.

"Keluarga Malaysia? Rakyat masih susah stabilkan diri selepas pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang melanda, kerajaan naikkan harga pengangkutan awam pula. Dengan keadaan rakyat sekarang bukankah patut ringankan beban rakyat. Ini pula sebaliknya," kata pengguna Twitter, jushhnasir.

Untuk rekod, My50 menggantikan pas perjalanan tanpa had My30, yang diperkenalkan kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada Jun 2020 seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam cadangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rapid kl, MY30, MY50, Wee Ka Siong, covid-19, banjir