Isu Batu Puteh: Tun M penipu, kata Najib


  • Politik
  • Sabtu, 23 Okt 2021

MAHATHIR berkata, rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu tuntutan Pulau Batu Puteh sebagai satu penipuan.

Beliau berkata, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membenarkan semakan dilakukan terhadap keputusannya sekiranya terdapa bukti baharu.

"Tun Mahathir jelas menipu apabila dia kata keputusan ICJ memberi Pulau Batu Puteh kepada Singapura adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

"Artikel 61 ICJ jelas membenarkan semakan terhadap keputusannya sekiranya kita mengemukakan bukti-bukti baharu yang tidak wujud semasa keputusan ICJ dibuat pada tahun 2008. Tun boleh baca sendiri," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa keputusan ICJ yang menyerahkan pulau berkenaan kepada Singapura adalah muktamad dan tidak boleh dibantah.

Menerusi catatan di blognya pada Rabu, Mahathir berkata, rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati.

"Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.

"Muktamad adalah muktamad. Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan," kata beliau.

Dalam pada itu, Najib berkata, pada tahun 2011 hingga 2013, National archives United Kingdom telah melepaskan 3,000 dokumen yang sebelum ini dirahsiakan.

Dari kesemua dokumen terbabit, katanya, Malaysia berjaya mengesan beberapa dokumen penting yang sangat membantu negara dalam kes tersebut.

Ini, menurutnya, termasuk dokumen pegawai British yang menulis kepada penasihat Johor yang mengaku Pulau Batu Puteh (ataupun Pedra Brance) serta bangunan light house Horsburgh tidak termasuk dalam kawasan yang diberi kepada British oleh kesultanan Johor dalam perjanjian tahun 1824.

"Terdapat juga satu laporan angkatan laut British tahun 1958 yang mengaku mereka dihalang untuk mengambil tindakan terhadap sebuah kapal Indonesia yang sedang mengancam kapal Singapura di sekitar Pulau Batu Puteh sebab perairan di sana adalah di bawah kerajaan Johor.

Pulau Batu Puteh (file pic)

Mahathir mendakwa keputusan ICJ yang menyerahkan pulau berkenaan kepada Singapura adalah muktamad dan tidak boleh dibantah.

Najib turut mempersoalkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang menarik semula tuntutan terhadap pulau itu pada 2018 ketika parti itu berkuasa.

"Memandangkan kerajaan BN masa saya PM telah berjaya menemui bukti-bukti dokumen kukuh ini, maka persoalannya ialah kenapa Tun Mahathir dan kabinet kerajaan PH telah menarik balik tuntutan kita di ICJ cuma dua minggu sebelum perbicaraan di ICJ bermula sedangkan kebanyakan kos siasatan dan guaman telah pun dibelanja masa itu?" soal Najib.

Pada 8 Oktober, Jemaah Menteri bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, minggu lalu turut menuntut penjelasan di sebalik tindakan kerajaan pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di ICJ.

Baginda bertitah, tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh, jika benar ia mempunyai unsur kecuaian dan kekhilafan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram