"DIA salahkan kita tukar alamat yang kita sendiri tidak tahu ia berlaku dan anggap sudah selesai kerana makanan sudah dihantar ke alamat baharu," demikian luahan seorang pengguna perkhidmatan penghantaran makanan, Foodpanda.
Berkongsi luahan dalam hantaran di laman sosial Facebook, Nadhirah Johari berang apabila pihak khidmat pelanggan Foodpanda seolah-olah menyalahkan dirinya atas kejadian makanan yang ditempah tidak sampai ke lokasi yang sepatutnya.
Nadhirah mendakwa, pada Sabtu dia membuat dua tempahan makanan menerusi aplikasi perkhidmatan berkenaan untuk dihantar ke rumahnya di Kuantan, Pahang.
Bagaimanapun dakwanya, hanya satu tempahan yang 'selamat' sampai ke kediamannya manakala satu lagi tidak diterima tetapi rekod di dalam aplikasi menyatakan ia sudah dihantar.
Dia kemudiannya membuat aduan kepada pihak khidmat pelanggan Foodpanda namun jawapan mereka cukup menghampakan.
"Saya buat laporan pada Foodpanda maklumkan tempahan tidak sampai. Tetapi mereka menjawab dalam sistem ada tukar alamat melalui khidmat pelanggan ke The Sky Inn, Jalan Sim Lim, Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.
"Saya terkejut dengan jawapan itu dan memaklumkan bahawa saya tidak pernah menukar alamat penghantaran. Saya sertakan sekali slip tempahan yang menyatakan alamat asal," dakwanya dalam hantaran yang dikongsi pada Ahad.
Tambahnya lagi, pihak Foodpanda seterusnya menjawab bahawa hasil semakan mendapati tempahan itu disahkan dihantar ke alamat yang ditukar dan mereka memberikan baucar sebanyak RM7.
Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Nadhirah membuat laporan semula kepada Foodpanda sebanyak dua kali, namun kedua-dua pegawai yang menguruskan laporan itu hanya memberi jawapan 'copy paste'.
Majoriti turut mendapatkan respons Nadhirah dan bertanya tentang status laporan yang dibuat.
Dakwanya, dia ada mendapat panggilan daripada pihak Foodpanda, tetapi tidak dapat menjawab panggilan kerana sedang memandu untuk ke tempat kerja.
"Saya kemudian ada menerima emel dari pihak mereka yang menyatakan kes tersebut sudah selesai.
"Jawapan itu sangat tidak adil buat saya kerana makanan tidak sampai ke rumah, malah duit saya lesap begitu sahaja. Mereka amat sambil lewa dalam menguruskan masalah pelanggan dan hanya mengambil jalan mudah dengan memberi baucar," dakwanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram