'Pendigitalan tidak kecilkan saiz perkhidmatan awam'


  • Primer
  • Selasa, 16 Nov 2021

PERKHIDMATAN awam masih berjalan lancar dan berterusan menyampaikan perkhidmatan ketika pandemik Covid-19 kerana adanya IT dan teknologi.

PENDIGITALAN perkhidmatan awam tidak bermakna saiz perkhidmatan awam akan mengecil kerana walaupun dengan kewujudan perkhidmatan dalam talian, ia masih memerlukan kehadiran fizikal, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata walaupun sebahagian perkhidmatan awam dilaksanakan secara dalam talian namun di sebalik tabir, ia masih memerlukan penjawat awam untuk melakukan pengurusan sistem, dasar dan maklum balas orang awam.

Katanya tidak semua perkhidmatan boleh bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) atau robotik, dan ada perkhidmatan yang tidak boleh disampaikan secara dalam talian, contohnya perkhidmatan keselamatan, kesihatan dan pendidikan yang diadakan secara hibrid.

"Dari segi nisbah, bilangan penjawat awam adalah tidak mencukupi, namun pada masa yang masa ada kekangan dari segi kemampuan," katanya kepada media selepas sesi Town Hall bersama warga universiti awam dan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata perkhidmatan awam masih berjalan lancar dan berterusan menyampaikan perkhidmatan ketika pandemik Covid-19 kerana adanya teknologi maklumat (IT) dan teknologi.

Beliau berkata JPA dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) terus bergerak dalam usaha mendigitalkan perkhidmatan awam.

"Perubahan IT perlu dimanfaatkan perkhidmatan awam dalam menuju digitalisasi yang memberi perkhidmatan menerusi peranti tanpa bersemuka," katanya serta menambah JPA turut melatih pegawai supaya lebih celik IT menerusi program Digital Government Competency and Capability Readiness (DGCCR). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram