TINDAKAN pelawak, Harith Iskander yang cuba membela pengusaha kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat melalui program bual bicaranya, What's Going On Malaysia di saluran YouTube mengundang kecaman netizen.
Bahkan dakwaan Harith Iskander yang mengatakan Sajat berasa terancam hingga terpaksa meninggalkan keluarga, anak dan empayar bisnes di Malaysia, dianggap sebagai berat sebelah.
Melalui satu perkongsian di Facebook, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, Harith dilihat cuba memperbetulkan perkara yang jelas adalah salah.
"Harith memilih untuk tidak mengetengahkan isu-isu Sajat yang mengguris hati umat Islam. Antaranya umrah (bertelekung di Madinah), lari daripada hutang dan keengganan melunaskan bayaran atas kesalahan imigresen," katanya pada Ahad.
Harith sebelum itu berkongsi status promo rancangan What's Going On Malaysia di Facebook yang akan menampilkan Sajat sebagai tetamu istimewanya.
"Dia terkenal. Dialah The Queen, yang pernah memberikan gelak ketawa dengan gelagatnya yang sangat mencuit hati sesetengah daripada kita.
"Kini, dia rasa terancam. Rasa tidak selamat dan tenteram. Yang paling menyedihkan, dia terpaksa tinggalkan keluarganya, anak-anaknya dan empayar bisnesnya di negara yang sangat dia sayangi," tulis Harith pada Sabtu.
TANGKAP layar status Facebook Rafidah yang mendakwa Harith berat sebelah.
Dengan memuat naik tangkap layar status tersebut, Rafidah membidas dengan mengatakan dua perenggan pertama dalam status berkenaan sudah menunjukkan kesimpulan berat sebelah daripada Harith.
"Jelas terdapat banyak sebab munasabah kenapa Sajat diburu oleh pihak berkuasa tempatan.
"Hanya kerana mahu mengagungkan seorang transgender, kita ketepikan kesemua kesalahan yang pernah dilakukannya," soal pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia itu.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan jika Harith boleh menggunakan platform untuk membawa suara individu yang telah melanggar undang-undang.
"Apa mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat lain yang patuh undang-undang," tambahnya.
Rata-rata netizen kemudian meninggalkan komen mengecam tindakan Harith kerana dianggap tidak sensitif.
"Saya rasa apa yang dikatakan Harith untuk tujuan kandungan di YouTubenya. Topik (Sajat) ini panas dan dengan menjadi berat sebelah, dia dapat apa yang dimahukan seperti perhatian dan rating.
TANGKAP layar komen netizen yang turut mengecam tindakan Harith.
"Saya pernah menyukai Harith kerana jenaka dan komedinya tapi sekarang dia mahu membincangkan dan berdebat (isu) daripada sebelah pihak sahaja," tulis Sharmila Bee Kamal.
Seorang lagi netizen menggunakan nama Pun Epul berkata, Harith tidak mengetengahkan isu-isu yang dihadapi Sajat.
"Tapi duk main naratif aca-acah opressed (ditekan pihak berkuasa) sangat kononnya golongan transgender ni.
"Pernah ke ada laporan kekerasan terhadap golongan trans atas asbab LGBTQ? Takde. Yang ada cuma atas kesalahan lain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram