Kerajaan teliti cadangan buka sempadan


  • Primer
  • Jumaat, 15 Okt 2021

RAKYAT Malaysia berkemungkinan boleh melancong ke luar negara tidak lama lagi.

KERAJAAN mempertimbangkan pembukaan sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelawat asing dari negara tertentu yang lengkap menerima suntikan vaksinasi untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib susulan perkembangan positif indikator Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia melalui program pengiktirafan bersama sijil vaksin seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain.

Jelasnya, perkara itu antara yang dimaklumkan dalam mesyuarat MPN pada Jumaat.

"Ini satu perkembangan positif dalam proses pembukaan sempadan negara yang saya pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutamanya sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain, di samping mempermudahkan urusan pelawat perniagaan dan pelawat sosial,” ujarnya.

Tambah Muhyiddin, beliau diberi taklimat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan berpuas hati dengan perkembangan dicapai, khususnya dari segi penurunan kes positif harian, penggunaan katil wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 serta kadar vaksinasi populasi dewasa yang tinggi pada masa ini.

Ujar beliau lagi, pembukaan sempadan negara akan membolehkan rakyat Malaysia ke luar negara tanpa peraturan yang menyulitkan manakala pelawat sosial serta pelancong asing boleh datang ke negara ini dengan mematuhi syarat ditetapkan.

Ditanya bila perkara berkenaan akan dapat dimuktamadkan, beliau dimaklumkan bahawa perkara itu akan dibincang dan dipertimbang dalam mesyuarat kerajaan pada Jumaat.

"Pembukaan sempadan antarabangsa ini sudah dipertimbang lama dan dikira sudah sampai masa selepas rentas daerah dan rentas negeri dibenarkan,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pembukaan sempadan negara akan membolehkan rakyat Malaysia ke luar negara tanpa peraturan yang menyulitkan, manakala pelawat sosial dan pelancong asing boleh datang ke negara ini dengan mematuhi syarat ditetapkan.

Ditanya bila perkara berkenaan akan dapat dimuktamadkan, Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan bahawa perkara itu akan dibincang dan dipertimbang dalam mesyuarat kerajaan hari ini.

"...kerana pembukaan sempadan antarabangsa ini sudah dipertimbang lama dan dikira sudah sampai masa selepas rentas daerah dan rentas negeri dibenarkan,” katanya.

Mesyuarat MPN yang berlangsung hampir tiga jam itu turut menyaksikan penglibatan wakil parti pembangkang iaitu Ahli Parlimen Subang Wong Chen (PKR), Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen (DAP), Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Amanah) dan Tan Sri Bernard Dompok mewakili UPKO. — Bernama