RAKYAT sudah mula jelak dengan cadangan perintah berkurung (lockdown) yang dicadangkan kerajaan jika kes positif Covid-19 meningkat ke tahap yang membimbangkan.
Perkara itu merupakan rangkuman suara netizen dalam komen mereka di hantaran akaun sosial media Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Najib dalam hantaran itu turut berkongsi tentang pandangan beliau berhubung kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tentang pelaksanaan pemutus litar jika lonjakan kes luar biasa.
NAJIB mencadangkan supaya lockdown dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh hari. — Facebook
Beliau berkongsi bahawa kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana dilihat separuh masak untuk siri kedua dan ketiga.
Katanya, jika mahu melaksanakan sekatan pemutus litar ia perlu dilaksanakan dengan ketat dengan jaminan tidak dilanjutkan untuk tempoh yang lama.
"Dengan kelonggaran dan pembukaan semula ekonomi akan ada kemungkinan kes akan melonjak semula.
"Sekatan pemutus litar, dengan izin ‘circuit breaker’ atau lockdown paling ketat dan singkat selama antara lima hingga tujuh hari sahaja dengan jaminan ia tidak akan dilanjutkan," kongsinya.
Rata-rata netizen dalam ruangan komen dilihat sudah jemu dengan cadangan lockdown namun, ada juga yang bersetuju dengan syarat ia dilaksanakan dengan ketat.
Seorang pemilik akaun Facebook, Apiez Bond menyuarakan pendapat supaya semua sektor ekonomi ditutup kecuali yang penting seperti yang dilaksanakan pada PKP 1.0 dahulu.
"Lockdown satu minggu sahaja? Pastikan seperti PKP 1.0 yang mana semua sektor ekonomi tutup kecuali yang penting.
"Jika dilakukan sedemikian, barulah nampak hasilnya daripada lakukan PKP untuk tempoh yang lama," komennya.
Tambahnya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memainkan peranan dan berfikir panjang untuk pelaksanaan PKP sekali lagi kerana rakyat sudah jemu dengan arahan sedemikian yang diulang sejak tahun lalu.
APIEZ berharap supaya Perdana Menteri berfikir panjang sebelum memutuskan untuk melaksanakan lockdown. — Facebook
Seorang lagi pengguna Facebook, Knaz Putra juga menyuarakan pendapat sama dan mencadangkan supaya kerajaan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) jika mahu laksanakan lockdown sekali lagi.
Terdapat juga pengguna akaun yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan semula PKP, namun jika mahu melaksanakannya, beri ruang kepada peniaga untuk beroperasi dan tutup pula sektor perkilangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram