RAMAI yang mungkin menarik nafas lega apabila tiga lagi tempat pelancongan bakal mengikut jejak langkah Langkawi, yang dibuka kepada pelancong mulai minggu lalu.
Pembukaan yang termasuk dalam projek rintis gelembung pelancongan negara itu sekali gus akan merancakkan lagi sektor pelancongan di negara ini, apabila hampir setahun ia ditutup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri pada Selasa berkata, tiga lokasi baharu pelancongan itu adalah Pulau Tioman, Genting Highlands dan bandaraya Melaka, yang mana bakal dibuka kepada orang ramai mulai bulan depan.
Dalam pada itu, terdapat netizen yang menganggap kebenaran merentas negeri untuk bertemu dengan ibu bapa mereka adalah lebih penting berbanding pembukaan sektor pelancongan itu.
Pengguna laman Facebook dikenali Sitiwatie Sitiwatie berkata, dia mahu merentas negeri kerana merindukan ibu bapanya, selain berharap pihak terlibat untuk mendengar rintihannya.
Pada masa, Zarina Abd Jalil juga menggesa supaya sempadan semua negeri dibuka.
“Ramai-ramai datang Melaka buat jem (jammed) memanjang. Orang nak balik kampung jumpa mak ayah. Bukan nak pergi melancong,” katanya.
Ada netizen mempersoalkan kebenaran rentas negeri untuk melancong, sebaliknya tidak diizinkan untuk pulang ke kampung.
Firdaus Halim berkata,” Kami nak rentas negeri jenguk mak bapak, lepas kerajaan umum boleh rentas negeri penuh tempat percutian. Dan dan lupa mak bapak,”
Kesal dengan perkara itu, Norazreen Mohammad mempersoalkan waktu untuknya berjumpa ibu bapanya kerana sudah dua tahun tidak berbuat demikian.
“Tunggu depa (ibu bapa) meninggal ke? Tanya je. Tak penting pun melancong tu. Dapat balik kampung peluk mak ayah lagi penting,” katanya.
Antara komen-komen netizen di laman Facebook.
Turut mengalami nasib sama, Sham Zul berkata, dia yang juga seorang perantau turut tidak bertemu dengan ibu bapa dan adik-baradiknya sejak dua tahun lalu.
“Itu (balik kampung) lagi penting dari aku nak melancong,” katanya.
“Tetap tak kebulur nak pergi (melancong). Bagi rentas negeri dan orang nak balik tengok mak ayah di kampung. Dah nak masuk 3 tahun dah orang tek boleh nak jenguk mak ayah di kampung,” kata Wan Nik Adha.
Tulis Rohaya Hassan: “Alahai, pergi melancong boleh, nak balik jenguk mak bapak tak boleh. Sudah-sudahlah tu, semua dah rindu nak balik kampung.
“Tak semua orang boleh pergi melancong, kalau boleh balik jenguk mak bapak pun dah bersyukur alhamdulillah,”
Pada masa sama, Faridah Adnan hairan apabila kerajaan membenarkan untuk merentas negeri semata-mata untuk melancong, namun perkara sama tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan ibu bapa.
Zuraida Omar Eda berkata: “Itulah, aku pun tak faham. Melancong boleh tapi kenapa balik kampung tak boleh?
“Sampai bila lagi nak tunggu ni. Dah berbulan tak balik ni. Orang tua aku tu masih ada. Kalau orang tua tak ada bolehlah sabar lagi.
“Dulu janji bukan main, lengkap 2 dos (vaksin) boleh rentas negeri, sekarang apa? Habuk pun tiada,” katanya kesal.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Isnin berkata, kelonggaran untuk merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dibincangkan dalam Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19, pada Selasa
Beliau berkata, keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri diteliti Jawatankuasa Khas Pemulihan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Kelonggaran merentas negeri, semuanya bergantung kepada fasa dalam PPN negeri yang berkenaan, tetapi syor datang daripada menteri bertanggungjawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik serta Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram