Rentas negeri tak termasuk dalam pengurangan SOP


  • Primer
  • Isnin, 20 Sep 2021

HISHAMUDDIN berkata, Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 turut fokus usaha mempermudahkan 181 SOP kepada 10 SOP. —Bernama

DATUK Seri Hishamuddin Tun Hussien berkata, senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak termasuk kebenaran merentas negeri.

Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri perlu diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri-negeri yang berkenaan.

“Tapi syor datang daripada menteri bertanggungawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik, serta dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19,” katanya.

Pada 14 September, Hishammuddin mengumumkan, kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengurangkan SOP PPN hanya kepada 10 SOP berbanding 181 sekarang, bagi memudahkan orang ramai untuk memahaminya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 yang membabitkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selain beliau sendiri, akan diadakan pada Selasa.

“Mesyuarat akan memberi fokus terhadap usaha mempermudahkan 181 SOP kepada 10 SOP, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini,” katanya.

Katanya, mesyuarat pada Selasa juga telah menjemput Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri bagi memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan yang lain.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga akan hadir pada Selasa bagi menerangkan tentang potensi kelonggaran-kelonggaran lain dalam sektor sukan.

Hishammuddin berkata, pada minggu hadapan, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin pula dijadual memberi taklimat kepada Menteri Kuartet mengenai vaksinasi dalam kalangan pelajar, serta perkembangan terkini menjelang pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 3 Oktober depan. —Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rentas negeri, SOP, PPN