MESKIPUN keputusan mewajibkan setiap pelancong untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum bercuti ke Langkawi bermula Khamis agak lewat dan mengelirukan, namun ia adalah satu langkah positif, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana kebimbangan kerajaan terhadap risiko peningkatan kes Covid-19 di pulau peranginan itu, berikutan projek rintis gelembung pelancongan yang akan bermula pada Khamis.
"Sebelum ini saya menyatakan tidak ada swab test (ujian saringan), tiba-tiba hari ini (Rabu) Kementerian Kesihatan mengumumkan ada swab test...tetapi Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bimbang apabila berlaku sesuatu seperti banyak kes nanti.
"Ini adalah satu kerisauan yang positif yang kami di pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) merasakan oleh kerana ini satu niat yang baik, maka kami sambutlah dengan baik, kami sokong," katanya.
Nancy berkata, langkah itu juga penting demi memastikan kesihatan rakyat terjamin dan kejayaan gelembung pelancongan Langkawi.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan, setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula Khamis diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.
Khairy berkata, ujian saringan mesti dilakukan oleh semua orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
Sementara itu, Nancy berkata, projek rintis gelembung pelancongan Langkawi akan menjadi kayu ukur bagi menentukan pembukaan semula lebih banyak destinasi pelancongan lain selepas ini.
"Kalau ini berjaya, maka insya-Allah projek gelembung pelancongan lain akan jadi mudah untuk kita. Semua sedang menunggu keputusan kita dari Langkawi ini. Destinasi lain sedang menunggu untuk dibuka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram