Dua mufti rungkai 'misteri' sejarah bola sepak, kisah kepala cucu Rasulullah dipenggal


  • Mukmin
  • Khamis, 13 Okt 2022

Ada pihak mendakwa bahawa asal-usul sukan bola sepak dikaitkan dengan peristiwa kepala cucu Nabi Muhammad SAW, Saidina Hussain dipenggal. — Agensi

SEBUT sahaja bola sepak pasti ramai yang meminatinya dan populariti permainan itu menjadikan ia sebagai sukan nombor satu di peringkat dunia.

Berbicara mengenai sejarah permainan bola sepak, ada pihak yang mendakwa bahawa sukan tersebut dikatakan ada kaitan dengan cucu Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Hussain.

Seorang pengguna Facebook mendakwa bahawa asal usul permainan bola sepak mempunyai kaitan dengan peristiwa kepala cucu Nabi Muhammad SAW, Saidina Hussain dipenggal.

WhatsApp Image 2022-10-12 at 9.05.06 PM

Hantaran dari pengguna Facebook itu.

“Asal usul bola sepak bermula dari kepala Saidina Hussain cucu baginda Rasulullah SAW dipenggal dan dijadikan bola sepak selama 20 hari di hadapan para ulama ketika itu. Allahu Akbar,” tulis individu tersebut di dalam hantarannya.

Dakwaan dari pengguna tersebut menimbulkan persoalan dari orang ramai mengenai kesahihannya.

Menjawab persoalan orang ramai itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman menegaskan bahawa perkara itu tidak benar kerana tiada satu hujah pun yang boleh menunjukkan kesahihan mengenai kejadian tersebut.

mufti pahang

Abd Rahman berkata, kejadian memenggal kepala itu berkemungkinan disebarkan oleh kumpulan tertentu. — Agensi

Tambahnya, berkemungkinan individu ataupun pengguna akaun yang menyebarkan cerita itu adalah kumpulan-kumpulan yang cuba untuk melaga-lagakan umat Islam.

“Saya rasa ia tidak betul. Kerana tiada satu hujah pun atau sumber yang menunjukkan kesahihannya.

“Sudah tentu orang melindungi cucu Rasulullah dan takkan sewenang-wenangnya berbuat perkara sebegitu rupa. Dari segi logiknya, takkan ulama nak berbuat perkara begitu.

“Orang yang sebarkan ini boleh jadi Syiah ataupun kumpulan-kumpulan yang cuba melaga-lagakan antara umat Islam. Malah, ini cara mereka nak menghina Rasulullah,” katanya kepada Majoriti.

Abd Rahman turut menasihati agar umat Islam tidak menyebarkan perkara itu dan kurangkan melayan hantaran berbaur seperti menghina Rasulullah.

Sementara itu, Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron, turut bersetuju bahawa ia tidak sepatutnya difikirkan oleh umat Islam.

mufti GANU

Mohamad Sabri menasihatkan untuk berhenti menyebarkan perkara yang tidak jelas kesahihannya. — Agensi

Hal ini kerana, perkara itu tidak mendatangkan sebarang faedah untuk disebarkan dan lebih merisaukan hanya menyebarkan fitnah semata-mata kepada orang ramai.

Malah, Mohamad Sabri turut berkata, bahawa sukan bola sepak hanya satu bentuk riadah dan tidak perlu dikaitkan dengan perkara lain.

“Ia satu bentuk sukan dan tidak berkait dengan apa pun. Sekadar riadah saja.

“Jadi apa-apa pun jenis sukan yang tidak bercanggah dengan Islam boleh dimain, cuma perlu menjaga etika pakaian,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram