MENUNAIKAN solat lima waktu adalah perkara yang diwajibkan kepada umat Islam dan seorang Muslim digesa untuk tidak meninggalkan ibadah itu sebagaimana dijelaskan dalam surah Al-Mukminun.
Dalam surah Al-Mukminun ayat 1,2 dan 9, ALLAH SWT menjelaskan: “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat... dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”
Dalam konteks itu amat jelas kepentingan memelihara solat termasuklah menjaga waktu-waktunya, namun kini ramai juga umat Islam yang terpaksa qada ataupun menggantikan ibadah itu.
Bagi pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, menggantikan atau qada solat adalah dibolehkan jika alasannya munasabah seperti tertidur ataupun terlupa tetapi jika dalam keadaan disengajakan adalah berdosa besar.
Senario seperti itu dapat dilihat berdasarkan sabda baginda SAW sebaik sahaja selesai melakukan qada solat tersebut yang bermaksud: Sesiapa yang terlupa solat (terlepas solat disebabkan terlupa) maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia mengingatnya semula. —Sahih al-Bukhari (597) and Sahih Muslim (1598)
"Contoh apabila kita terlupa semalam sebab asyik nak tengok bola. Cerita pasal bola tak habis-habis. Tiba-tiba terlupa nak solat, keadaan itu bukan sengaja tapi memang terlupa.
"Pagi itu teringat pula yang semalam tidak menunaikan solat Isyak maka ia tidak berdosa kerana terlupa. Apabila waktu anda teringat itu, pada ketika itulah anda menunaikan solat," katanya menerusi klip ceramah pada laman Youtube.
Tambahnya, jika seseorang ingin qada solat, ia tidak mempunyai batasan waktu yang mana mereka boleh menggantinya pada bila-bila masa sahaja tetapi perlu disegerakan jika teringat.
Namun sebaik-baiknya kita segera menunaikan ibadat ketika waktu solatnya belum berakhir dan jadikan amalan melakukan Rukun Islam itu di awal waktu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram