Bukhoor bukan ritual puja syaitan, sebaliknya sunnah Rasulullah


  • Mukmin
  • Selasa, 14 Jun 2022

Bukhoor adalah sejenis wangian dari kayu gaharu yang dicampurkan dan direndam dengan minyak pati wangian ataupun kapur barus untuk dijadikan alat wangian dalam rumah sejak zaman Rasulullah. — Gambar hiasan

UMUM mengetahui bahawa salah satu sunnah Rasulullah SAW adalah berwangi-wangian dan Nabi Muhammad SAW akan mencalit wangian sebelum keluar menyempurnakan urusan, terutamanya ketika hendak ke masjid.

Ia merupakan sunnah Rasulullah yang tidak pernah dilupakan sehingga ke hari ini dan salah satu amalan berwangian-wangian yang banyak dilakukan ialah membakar bukhoor.

Amalan membakar bukhoor berkemungkinan amat janggal dalam sesetengah masyarakat Melayu namun ia sudah menjadi kebiasaan masyarakat Arab membakar bukhoor sebagai pewangi dalam rumah atau masjid.

Penjual bukhoor, Shahirul Aina berkata, bukhoor adalah sejenis wangian dari kayu gaharu yang dicampurkan dan direndam dengan minyak pati wangian ataupun kapur barus untuk dijadikan alat wangian dalam rumah sejak dari dahulu lagi.

"Selalu orang cakap kapur barus untuk orang meninggal tapi kebanyakan zaman dahulu mencampurkan kapur barus dengan kayu gaharu untuk buat wangian.

"Ramai orang Malaysia menganggap bukhoor adalah amalan dan tradisi masyarakat Arab tetapi hakikatnya bukhoor ini amat dekat dalam jiwa dan rohani umat islam seluruh dunia. Itu adalah disebabkan ia merupakan cara Rasulullah SAW dalam berwangian," katanya menerusi temubual bersama ZayanFM untuk segmen Salambros.

Daripada Nafi’ RA, dia berkata: Maksudnya: Ibnu Umar apabila ingin berwangi maka dia akan berwangi dengan gaharu, tanpa mencampurkan dengan bahan lain, atau berwangi dengan kapur, atau mencampurkan kapur dan gaharu. Dia berkata: “Beginilah Rasulullah SAW berwangi.” — (Hadis riwayat Muslim)

Mungkin ada yang mempersoalkan membakar bukhoor ini ibarat memuja jin dan syaitan kerana asap yang dikeluarkan, namun Shahirul Aina menegaskan perkara itu adalah tidak benar kerana amalan itu merupakan sunnah Rasulullah SAW.

"Kalau Melayu ini kalau bakar kemenyan ini macam memuja syaitan dan jin. Kalau ikut secara asasnya memang jin suka asap-asap tapi tidak semua jin suka. Jadi kalau bukhoor ini menggunakan kayu gaharu.

"Kayu gaharu ini sangat istimewa dan merupakan cara Rasulullah berwangian jadi apa-apa kalau kita ikut sunnah memang syaitan tidak suka. Insya-ALLAH bakar bukhoor ini bukan satu ritual," katanya.

Jelasnya, membakar bukhoor juga sebenarnya membawa manfaat kepada kesihatan diri kerana wangian itu sangat bagus untuk mental dan emosi seseorang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram