BARU-BARU ini, isu imam membaca surah panjang ketika menunaikan solat di sebuah surau atau masjid rancak dibincangkan warganet di media sosial.
Hal ini kerana, ada yang mendakwa, surah panjang yang dibacakan oleh agak membebankan para jemaah khususnya warga emas yang tidak mempunyai kudrat untuk berdiri lama dan orang yang bergegas untuk melakukan urusan lain.
"Imam yang baca surah panjang-panjang masa solat Jumaat ini tidak fikir ke jemaah dia yang di luar, solat bawah matahari panas terik. Dia duduk depan aircond bolehlah lama-lama. Tak rasa serba salah ke?," ujar pengguna Twitter, IlmanYusri.

Tangkap layar ciapan itu yang membahaskan isu imam membaca surah panjang ketika solat jemaah.
Mengulas isu tersebut, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, ia dibolehkan jika seorang imam itu hanya mempunyai makmum yang terdiri daripada isteri dan para pelajarnya dan bukannya orang awam.
"Menurut ulama, di pondok, jika tok guru jadi imam dibolehkan. Menjadi tidak boleh untuk memanjangkan bacaan apabila makmum terdiri daripada orang awam seperti ada orang jauh, orang duduk dekat, kanak-kanak, orang bekerja, wanita dan sebagainya.
"Nabi kata, apabila kamu menjadi imam kepada manusia hendaklah kamu ringankan," katanya menerusi sebuah klip ceramah yang diadakan di Surau Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu.
Menurut Azhar yang mesra dengan panggilan UAI, pada zaman nabi dahulu seorang sahabat yang bernama Mu'az ibn Jabal membaca surah al-Baqarah sewaktu solat, jadi disebabkan bacaan surah panjang itu, seorang makmumnya tidak mengikuti solat jemaah bersamanya.
"Berita Muaz solat membaca surah panjang sampai kepada Nabi dan Baginda mempersoalkan kepada sahabatnya (Mu'az) kenapa mendatangkan fitnah kepada individu tersebut. Maksud fitnah ini adalah menyukarkan orang ramai," kata UAI.
Kesimpulannya, imam perlu melihat melihat keadaan makmum yang solat di belakangnya dan jangan disebabkan bacaan panjang menyebabkan makmum lari daripada solat berjemaah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
