Sihir UKE: Siapa percaya ‘pawang diraja’, segeralah bertaubat


  • Mukmin
  • Khamis, 09 Jun 2022

‘Neo Pawang Diraja’ membuat permohonan maaf secara terbuka melalui media sosialnya kepada Kazim Elias atas perbuatan yang didakwa tidak bertanggungjawab itu.

BARU-BARU ini heboh media sosial mengenai seorang individu mendakwa dirinya sebagai ‘pawang diraja’ yang berkongsi satu video menunjukkan lakaran dua ‘jelmaan’ yang kononnya telah menyihir pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang mesra dengan panggilan UKE.

Video itu menjadi tular sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dari warganet termasuklah UKE sendiri yang mana turut terkejut dengan pendedahan dari lelaki berkenaan.

Sejurus video itu tersebar, UKE memohon agar ‘pawang’ berkenaan menurunkan video tersebut bagi mengelak dari timbulnya tanggapan tuduhan kepada individu lain dan perkara sebegitu bukan daripada kaedah perawatan yang dibenarkan.

Susulan itu, pelaku yang dikenali ‘Neo Pawang Diraja’ membuat permohonan maaf secara terbuka melalui media sosialnya kepada UKE atas perbuatan yang didakwa tidak bertanggungjawab itu.

Bagi pendakwah bebas, Ustaz Abd Rahman Tajudin yang merupakan Felo ISSI (Islamic & Strategic Studies Institute) berkata, meskipun lelaki berkenaan sudah mengemukakan permohonan maaf dan memadam video tersebut, umat Islam yang sudah terjerumus mempercayai lukisan itu perlulah melakukan taubat dengan segera kepada ALLAH SWT.

Perkara itu adalah seiring dengan hadis yang berbunyi "Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW." Riwayat Ahmad (9171)

"Risau ramai yang percaya, jadi seeloknya lakukan solat taubat dengan segera bagi memohon keampunan dengan ALLAH.

"Semua sedia maklum berdosa besar jika seseorang itu mempercayai makhluk lain daripada ALLAH SWT. Maka untuk selamat siapa yang sudah menonton dan mempercayai bomoh itu, lakukan taubat.

"Rujuk dengan ulama sebenar, jangan bergantung kepada media sosial sahaja kerana kita tidak boleh meneka sesuka hati siapakah yang lakukan perbuatan berkenaan," katanya kepada Majoriti.

Malah, Abd Rahman turut mengingatkan supaya umat Islam perbanyakkan amalan baik dan sentiasa berzikir bagi mengelak daripada gangguan makhuk ghaib. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram