Maksud di sebalik salam hingga fajar pada malam Lailatul Qadar


  • Mukmin
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Pada malam lailatul qadar, turun malaikat untuk mengatur segala urusan dan mencatit ketentuan manusia. — Gambar hiasan

KETIKA ada dalam kalangan kita yang mengejar pahala berganda pada 10 malam terakhir Ramadan, tidak lupa masih ada yang lalai dan sudah mula meninggalkan masjid.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, ada antara mereka mengejar lailatul Kamdar (membeli-belah di Kamdar) atau lailatul kandar (melepak di restoran nasi kandar) dan bukannya keberkatan malam 1,000 bulan.

Malam al-Qadar tidak diketahui secara tepat akan waktunya. Ia merupakan salah satu rahsia ALLAH dan hikmah agar hambanya sentiasa tekun beribadah pada bulan Ramadan.

Di penghujung surah al-Qadar, ALLAH mengungkapkan salam kesejahteraan buat mereka yang menghidupkan malan tersebut. Apakah yang dimaksudkan dengan salam kesejahteraan ini?

Menurut al-Sya’bi, perkataan salam tersebut adalah ucapan para malaikat (doa mereka) ke atas ahli masjid yang menghidupkan malam tersebut.

“Salam tersebut adalah ucapan malaikat pada malam al-Qadar ke atas ahli masjid, bermula dari lenyapnya matahari (masuk maghrib), sehinggalah terbitnya fajar.” (Tafsir al-Baghawi)

Para malaikat turun bersamaan dengan turunnya berkat dan rahmat, sebagaimana mereka turun ketika al-Quran dibaca. Sebagaimana mereka melingkar di sekeliling majlis zikir. Mereka membentangkan sayap bagi para penuntut ilmu yang bersungguh-sungguh sebagai penghormatan untuknya.

“Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (QS. Al-Qadr: 4-5)

Oleh yang demikian, rugilah buat mereka yang tidak menghidupkan 10 malam terakhir ini.

Menurut al-Dahhak pula, pada malam tersebut, ALLAH menentukan Qadar (taqdir) segala kebaikan buat manusia. Ini kerana pada malam al-Qadar, ketentuan manusia ditulis pada malam tersebut.

Mereka yang memperbanyakkan berdoa pada malam itu, ALLAH akan mencatatkan ketentuan yang sejahtera buat mereka.

“Allah tidak menentukan segala ketentuan melainkan dicatatkan ketentuan yang baik dan sejahtera sahaja pada malam tersebut.” (Tafsir al-Qurtubi)

Oleh yang demikian, perbanyakkan berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah. Mudah-mudahan ALLAH menentukan segala kebaikan dan kesejahteraan sahaja buat diri kita dan memadamkan segala ketentuan yang tidak baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram