Elak terlupa tunai zakat fitrah, ketahui empat fasa bermula harus hingga haram


  • Mukmin
  • Ahad, 17 Apr 2022

Sebagai orang yang beragama Islam, tidak sepatutnya kita lupa terhadap rukun Islam keempat itu kerana ia satu kewajipan besar. — Bernama

ZAKAT fitrah amat besar kesannya dalam kehidupan khususnya memenuhi keperluan jiwa seseorang yang berpuasa.

Apabila berpuasa, maka kita diwajibkan menahan makan dan minum selama berjam-jam yang mana menerusi ibadah ini kita dapat merasai sendiri betapa peritnya orang-orang fakir dan miskin menahan lapar.

Untuk itu, zakat fitrah yang difardukan adalah pelengkap kepada puasa tersebut.

"Andai kita insaf betapa deritanya para fakir miskin, maka berkongsilah sedikit harta dengan mereka agar terangkat sedikit derita. Inilah roh zakat fitrah di sisi Ramadan," demikian menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Atas dasar itulah, dalam perbahasan fiqh, zakat fitrah itu boleh dilunasi lebih awal daripada waktu wajibnya.

Memanglah masa wajib zakat fitrah adalah selepas terbenamnya matahari akhir Ramadan dan sebelum mendirikan solat Aidilfitri, itulah waktu yang paling utama di sisi Allah, namun tidak pula menjadi kesalahan andai kita bertindak menyegerakannya.

Maka, dalam hal ini para fuqaha telah membahagikan waktu menunaikan zakat fitrah kepada empat fasa, iaitu fasa harus bermula satu Ramadan, fasa wajib bermula terbenamnya matahari sehingga terdirinya solat sunat Aidilfitri, fasa makruh selepas mendirikan solat Aidilfitri dan fasa haram selepas terbenamnya matahari satu Syawal, yakni masuknya dua Syawal.

zakat-fitrah-lzs-1024x683

Zakat fitrah itu boleh dilunasi lebih awal daripada waktu wajibnya.

"Andai kata sudah terlupa, dan hanya teringat selepas terbenamnya matahari satu Syawal, pastilah hukumnya haram dan berdosa.

"Samalah orang yang melewatkan solat fardu sehingga melewati batas waktunya tanpa uzur, maka jelaslah berdosa orang berkenaan," katanya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan persoalan yang berbangkit sekiranya mana-mana individu yang layak dan berkemampuan terlupa untuk membayar zakat fitrah sewaktu bulan Ramadan.

Katanya, sebagai seorang yang beragama Islam, tidak sepatutnya kita lupa terhadap rukun Islam keempat itu kerana ia satu kewajipan besar.

"Ruang masa yang diberikan juga amat panjang sejak dari awal Ramadan lagi takkan kita tak ambil perhatian, jadi tak sepatutnya kita lupa.

"Andainya kita lupa, kita dianggap berdosa dan perlu meminta keampunan daripada ALLAH dan insya-ALLAH, ALLAH mengampunkan kita," katanya dalam program Sinar Live pada Khamis.

Namun, itu tidak bermakna kita tidak wajib menqadakannya.

"Dalam hal ini, hendaklah dengan segera mengeluarkan zakat fitrah tersebut, walaupun sudah masuk waktu haram. Kala itu, zakat fitrah saudara sudah dianggap sebagai qada di sisi ALLAH," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram