PENGUMUMAN kerajaan untuk melaksanakan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari 2021 menerima reaksi berbeza pelbagai pihak.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pelaksanaan tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol dan menambah baik pengurusan kesesakan di plaza tol.
"Kita boleh lihat Singapura yang tidak mempunyai tol, perjalanan pengguna jadi lebih cepat sebab tidak perlu berhenti, sentuh kad dan sebagainya seperti yang kita amalkan sekarang,” katanya.
Menurut PLUS, pembayaran tol melalui RFID yang mula diperkenalkan pada 2018 melibatkan lebuh raya terpilih merupakan langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol menerusi Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong (MLFF).
Namun, Mohd Yusof berkata, 20 laluan RFID di sembilan plaza tol PLUS buat masa ini masih mempunyai palang dan keadaan itu menyebabkan pengguna lebuh raya perlu memperlahankan kenderaan sebelum imbasan dilakukan.
Mohd Yusof juga tidak menafikan kemudahan tambah nilai yang ditawarkan RFID yang boleh dibuat secara dalam talian seharusnya mendapat reaksi positif rakyat.
"Macam yang dikatakan ramai pihak, kalau dengan Touch ‘n Go kita memang alami kesukaran untuk tambah nilai. Kena singgah ke kedai serbaneka, stesen minyak dan kena sediakan tunai sebab untuk tambah nilai tanpa tunai tidak boleh.
"Jadi RFID ini bagi kita pilihan yang lebih mudah sebab boleh tambah nilai menerusi telefon pintar sama ada guna kad debit atau kredit, atau perbankan dalam talian. Ia juga ada ciri tambah nilai langsung menggunakan e-dompet,” katanya.
Beliau turut bersetuju dengan sasaran pelaksanaan RFID secara berperingkat memandangkan tidak semua pengguna lebuh raya ketika ini mempunyai akses kepada tag RFID berikutan kurangnya maklumat mengenai sistem tersebut.
"Pilihan untuk menggunakan Touch ‘n Go dan SmartTAG untuk tempoh tertentu adalah wajar dan ia perlu diteruskan sehingga PLUS rasa semua orang sudah boleh akses kepada RFID. Kemudian barulah secara beransur-ansur hapuskan kaedah pembayaran sedia ada dan beralih ke RFID sepenuhnya,” katanya yang turut menyarankan untuk lebih banyak promosi dibuat oleh PLUS berkenaan teknologi itu untuk manfaat pengguna.
Mengenai reaksi sesetengah netizen yang kurang senang dengan pengumuman tersebut, beliau berkata situasi berkenaan pernah berlaku suatu ketika dahulu semasa peralihan sistem pembayaran tunai di tol kepada Touch ‘n Go.
"Saya rasa tiada masalah sebenarnya sebab peralihan tunai ke Touch ‘n Go sebelum ini tidak ambil masa yang lama (untuk diterima pengguna). Itu menunjukkan rakyat kita sebenarnya bersedia dengan perubahan berkenaan. Jadi sebab itulah, saya berpendirian yang sama untuk RFID ini.
"Apabila semakin ramai yang menikmati kemudahan ini, maka peralihan itu akan menjadi lebih positif. Sekarang saya faham banyak yang kurang setuju sebab belum ramai yang menggunakannya,” katanya.
Bagaimanapun, bagi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, beliau mempersoalkan sama ada wujud keperluan mendesak untuk RFID dilaksanakan dalam tempoh terdekat sedangkan majoriti rakyat ketika ini hakikatnya sedang melalui fasa hidup yang sukar akibat Covid-19.
Menurutnya, walaupun kenyataan susulan PLUS yang menjelaskan penggunaan Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan meskipun transaksi RFID diperluaskan pertengahan Januari, beliau masih merasakan pengumuman tersebut sebagai ‘berita buruk’ bagi sebilangan masyarakat.
"Walaupun hanya sekadar pengumuman dan kaedah pembayaran sedia ada masih berjalan, itu sudah memberi kesan kepada rakyat untuk semakin tertekan.
"Rakyat hidup dalam harapan ketika ini dan harapan yang ‘cantik’ akan menyeronokkan mereka. ‘The feel good factor’ itu amat penting kepada kita,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana pengguna di luar bandar yang mungkin sukar untuk mengakses pemasangan RFID selain isu teknikal seperti pemindahan baki semasa dalam kad Touch ‘n Go mahupun SmartTAG ke RFID yang masih tidak jelas.
"Begitu juga dengan parkir kenderaan yang menggunakan Touch ‘n Go. Pihak berkaitan kena jelaskan dan mudahkan hal-hal sebegini. Kalau tidak boleh pindahkan (baki dalam kad) dan kena buat baharu untuk tujuan parkir, itu adalah kos untuk pengguna. Perlu ada jaminan tiada sebarang kos tambahan,” katanya.
Justeru, beliau mengharapkan lebih banyak penjelasan terperinci dikeluarkan PLUS berhubung pelaksanaan RFID memandangkan tiada pemakluman berkaitan isu teknikal seperti diperkatakan netizen terutamanya berkenaan parkir.
Menurut laman sesawang RFID, ketika ini ia digunakan oleh 1,269,957 pengguna di seluruh negara dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup di Dewan Negara baru-baru ini berkata kementeriannya menyasarkan 60 peratus penggunaan RFID pada akhir 2022 dan penggunaan kad Touch 'n Go dan SmartTAG mungkin akan diberhentikan pada penghujung 2023. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram